Friday, September 26, 2008

AIDILFITRI: YANG PERLU DAN YANG JANGAN DILAKUKAN

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI 1429H/2008M

Moga Allah Menerima Amalan Kita

Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.

Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.

Seolah-olah individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya yang mendapat keputusan ‘gagal' dan berjaya peroleh doa khas Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan' iman yang lebih dahsyat pada bulan selanjutnya. Nau'zubillah.

Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka

Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.

"waste of time!!" katanya lagi.

Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).

Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.

Sebagaimana kata-kata hukama :-

الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ

Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)

BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?

Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.

Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.

Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)

Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.

Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :

من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ

Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )

Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).

Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.

MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?

Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?.

Bergembiralah Orang Yang Membersihkan Hatinya di RamadhanSecara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-

1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.

2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.

3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.

4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.

5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)

Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.

TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI

Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari.

Rancangan yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya.

Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya.

Dan sebagaimana sedinya ibubapa En Jazimin dan isterinya berpisah dengan buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin buat selama-lamanya.

Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalahhu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7)Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.

Selamat Hari Raya Idil Fitri

"Taqabballahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"

Sekian dahulu,

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

27 Ramadhan 1428 H/9 Oktober 2007

Ulang siar pada 25 Sept 08 ( 25 Ramadhan 1429 H)

Thursday, September 25, 2008

SALAM AIDILFITRI 1429H/2008M


من العائدين والفائزين

كل عام وأنتم بخير

عيد مبارك سعيد

AS-SALAM DOT COM
ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri khas untuk semua pengunjung bolg ini walau di mana anda berada. Semoga Syawal kali ini disambut dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan keinsafan.

Maaf Zahir & Batin.

Nak dengar lagu raya?

ALZHEIMER PENYEBAB NYANYUK

PENYAKIT Alzheimer ialah bentuk penyakit nyanyuk (dementia) paling umum yang dialami oleh manusia berusia 65 tahun dan ke atas. Ini bukan sebahagian daripada proses penuaan normal, tetapi penyakit yang menyebabkan kehilangan progresif sel saraf otak. Memandangkan sel saraf ini penting untuk pemikiran normal, daya ingatan dan fungsi otak, mereka yang menghidap penyakit Alzheimer mengalami kemerosotan fungsi otak yang mengganggu kegiatan harian normal mereka (Gambar menunjukkan sel-sel Alzheimer).


Secara beransur-ansur, pesakit Alzheimer hilang keupayaan mereka untuk melakukan kegiatan harian paling asas seperti memberus gigi, memakai pakaian, mandi dan lain-lain. Pada akhirnya, keupayaan mereka untuk berjalan dan bercakap juga mungkin terjejas atau hilang sama sekali.

Dikenali sebagai penyakit 'The Long Goodbye', penyakit ini lazimnya meliputi tempoh lebih sepuluh hingga 20 tahun. Walaupun penyelidikan intensif dijalankan kebelakangan ini, penyakit Alzheimer masih belum difahami sepenuhnya dan tiada penawar yang diketahui, lantas pengesanan dan rawatan awal merupakan satu-satunya pilihan untuk menguruskan penyakit dengan berkesan.

Menurut Pakar Runding Geriatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Philip Poi Jun Hua, Alzheimer sejenis penyakit otak degeneratif yang dialami oleh kira-kira 24 juta orang di seluruh dunia.

"Perkara yang sering dikhuatiri ialah kepatuhan pengambilan ubat kerana penyakit Alzheimer menjejaskan daya ingatan seseorang. Pesakit mungkin lupa mengambil ubat atau terlupa mereka telah mengambil dos.

"Maklum balas daripada para penjaga pesakit menunjukkan bahawa sering kali, pesakit enggan mengambil ubat kerana berpendapat mereka tidak menghidap sebarang penyakit. Kaedah pemberian ubat baru ini memberikan pilihan tambahan yang amat dihargai kepada kira-kira 50,000 rakyat Malaysia lanjut usia yang menghidap penyakit ini," katanya ketika majlis pelancaran rawatan transdermal penyakit Alzheimer's, Exelon Patch.

Sementara itu, Ketua Perubatan, Novartis Corporation (Malaysia), Dr Premila Paranchothy, memberitahu, rawatan ini menawarkan manfaat terapeutik yang unik dengan mengekalkan kandungan ubat yang sama dalam aliran darah, lantas mengurangkan kesan sampingan gastrousus seperti loya dan muntah.

"Keupayaan memberi pesakit rawatan yang berkesan menerusi tampalan yang mudah dan senang digunakan merupakan satu kemajuan besar. Bagi penjaga, tampalan ini memberikan jaminan yang nyata bahawa pesakit telah mengambil ubat, jadi mereka tidak perlu lagi bimbang tentang perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Philip memberitahu, Alzheimer sekarang menjadi masalah kesihatan umum utama yang semakin serius dihadapi oleh golongan warga emas dan memerlukan penjagaan keluarga mereka.

"Alzheimer merupakan penyakit nyanyuk yang biasa menyerang warga emas. Mengikut statistik Asia Pasifik, penghidap penyakit ini telah mencecah 18 juta orang. Lebih kurang 60,000 orang di Malaysia merupakan penghidap Alzheimer. Dijangka pada tahun 2020, angka ini akan berganda kepada 120,000 orang," katanya.

Tambah Dr. Philip, berkorban masa dan tenaga menjaga warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer atau nyanyuk bukanlah satu perkara mudah.

"Penyakit Alzheimer bukan hanya nyanyuk yang disebabkan proses penuaan. Sebaliknya, ia adalah sejenis masalah kesihatan yang memerlukan perhatian daripada keluarga pesakit. Ia menyebabkan keupayaan fungsi otak menurun dan memusnahkan kemahiran daya ingatan dan pemikiran seseorang," jelasnya.

Risiko untuk menghidap Alzheimer, penyakit yang sinonim dengan warga tua ini, meningkat seiring dengan pertambahan usia.

Menurut Dr. Philip, simptom dementia yang paling awal adalah menjadi pelupa terutama mengenai perkara penting dan dilakukan setiap hari. Mereka perlu dibawa berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan bagi mengesahkannya.

Jelasnya, sebaik sahaja menusia mencecah 20 tahu, proses kematian sel-sel di dalam otak mula berlaku dan menyebabkan otak mengecut. Kemusnahan sel-sel otak secara berterusan menyebabkan kualiti daya ingatan semakin berkurangan.

Dr. Philip memberitahu, dementia merujuk kepada sekumpulan gejala yang berkaitan dengan hilang ingatan, berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari tetapi akhirnya boleh menjadi bertambah teruk.

Akibatnya, seseorang sukar mengingat sesuatu dan menjejaskan keupayaannya untuk berfikir dengan baik hingga boleh mengganggu aktiviti normal dan rutin seperti makan dan menguruskan kebersihan diri.

"Selain kemerosotan pemikiran, pesakit turut mengalami perubahan dari segi personaliti dan tingkah laku serta perasaan mereka.
Menurutnya, sekiranya pesakit mendapat rawatan pada peringkat awal, ia sekali gus mampu mengurangkan masalah penjagaan yang membebankan ahli keluarga.

"Mengesan gejala Alzheimer pada peringkat awal merupakan satu kelebihan. Doktor boleh memberi panduan tentang tanda-tanda awal demetia. Jika pesakit benar-benar disahkan mengidap Alzheimer, keluarga pesakit mempunyai lebih masa untuk membuat rancangan pada masa depan. Rawatan boleh dilakukan awal dan ia lebih efektif," katanya.

Dr. Philip menjelaskan, ketika diagnosis dijalankan, doktor memerlukan maklumat pesakit daripada keluarga dan kawan-kawan, ujian fizikal dan neurologikal serta ujian makmal. Selain itu, doktor akan melakukan ujian neuropsikologikal di samping melakukan imbasan imej menggunakan CT atau Magnetic Resonance Imaging (MRI). Katanya, imbasan PET merupakan langkah utama untuk mendapatkan maklumat.

Mengimbas sejarah Alzheimer, penyakit ini ditemui oleh Dr. Alois Alzheimer pada 1907 ini, dinamakan Alzheimer, bersempena nama beliau. Dementia boleh dibahagikan kepada dua, pertama dementia berbalik (reversable) yang boleh dikawal dan kedua tidak berbalik iaitu kekal. Hasil daripada bedah siasat terhadap seorang wanita, Dr. Alzheimer mendapati otak wanita tersebut bukan saja mengecut malah, dipenuhi dengan gumpalan protein yang luar biasa yang dipanggil plak amiloid dan serat yang berbelit-belit (neuro fibrillary).

Individu yang berisiko untuk mendapat penyakit ini ialah seseorang yang menghidap hipertensi apabila mencecah usia 40 tahun ke atas, penghidap diabetes, kurang melakukan senaman, paras kolesterol yang tinggi dan faktor keturunan iaitu mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit ini pada usia lingkungan 50-an.

Antara simptom lain dementia ialah lupa perkara yang sering dilakukan, cepat penat, sukar membezakan masa, tempat dan orang, hilang daya logik, pelupa, tidak mapu melakukan kegiatan harian dan menyiapkan diri sendiri, tidak boleh menumpukan perhatian, susah mengingat perkataan ketika bercakap dan sukar menamakan objek.

Selain itu, pesakit Alzheimer sering tertekan, merepek, tidak sabar, sukar membezakan masa dan yang paling teruk ialah mereka gagal mengawal ketika membuang air kecil atau besar, tidak mampu berfikir, bercakap dan bergerak malah terdapat juga penghidap Alzheimer hilang sifat malu dan bercakap mengenai hal yang boleh memalukan keluarga atau bertelanjang di tempat umum.

Berikut merupakan sedikit panduan bagi keluarga yang ingin menangani ahli keluarga mereka yang menghidap Alzheimer:
1.Selalulah bergurau senda dengan mereka kerana warga emas yang nyanyuk cenderung menyimpan kemahiran bersosial mereka.
2.Sebagai orang yang lebih muda, wujudkan mood positif ketika berbual-bual dengan mereka. Berinteraksilah dengan mereka dengan bahasa yang lembut dan sopan sebagai tanda hormat.
3.Ingatilah masa-masa indah yang pernah dilalui bersama mereka kerana kebanyakan pesakit nyanyuk tidak mengingati apa yang telah berlaku dalam tempoh 45 minit.
4.Ketika berbual-bual dengan mereka, wujudkan suasana tenang. Elakkan bunyi bising seperti telefon bimbit dan radio. Perkenalkan diri anda dan jelaskan hubungan anda dengannya sambil menyentuh tangan dan bahunya.
5.Berbual-bual dengan mereka dengan menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami. kita perlu faham bahawa golongan ini mudah tersentuh. Jadi, anda tidak perlu meninggikan suara. Cukup sekadar bahasa yang jelas dengan nada rendah.
6.Pesakit nyanyuk biasanya mudah lupa, jadi anda perlu bersabar setiap kali menunggu jawapan mereka.
7.Wujudkan suasana yang bahagia dengan berbual sambil bercerita perkara lucu. Sekiranya mereka dalam mood sedih, cuba tukar persekitaran dan topik cerita.

Sumber: AlZHEIMER PENYEBAB NYANYUK
OLEH RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah@utusan.com.my, 21/09/2008

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Sunday, September 21, 2008

MUTIARA HIKMAH HARI INI

Siapakah orang yang miskin?.
Orang yang miskin ialah orang yang tidak puas dengan nikmat yang ada dan sentiasa mengumpulkan harta.

BUDAK 4 TAHUN LAHIR DARI BUKAN ISLAM TAHU MENGENAI ISLAM

Setiap orang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. kepadanya. Anugerah itu hendaklah dimanfaat dan digunakan dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Paparan video ini jelas menunjukkan betapa seorang kanak-kanak berumur 4 tahun telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. dengan kelebihan akal yang tinggi keupayaannya. Kelebihan tersebut telah menjadikannya seorang pendakwah yang boleh dianggap sebagai 'luarbiasa".

Marilah hayati bersama paparan video ini.

blogger templates | Make Money Online