Siapakah orang yang kaya?.
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia adalah sementara.
Thursday, September 18, 2008
MUTIARA HIKMAH HARI INI
Posted by muslim kelana at 2:48 PM 1 comments
Labels: Mutiara hikmah hari ini
Wednesday, September 17, 2008
AL-QURAN PENJANA UMAT CEMERLANG
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِى أُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْءَانَ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Melalui sejarah penurunannya yang berlaku ribuan tahun yang lalu kepada Nabi Muhamaad S.A.W. telah mencatatkan bahawa ia diturunkan pada malam 17 Ramadhan yang menampilkan ayat 1-5 dari Surah Al-‘Alaq (dinamakan juga Surah Iqra’) yang bermula dengan perkataan “ IQRA ’” sebagai pembuka wahyu.
Penurunannya telah mula membuka satu lembaran baru dalam era kehidupan dan ketamadunan manusia di alam ini khususnya di tanah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. dari kehidupan yang serba mencabar emosi, wujudnya penindasan, penghambaan dan pengibadatan animisme yang mewarnai sosial budaya dan siasah tanah Arab pada waktu itu, berubah kepada suatu bi’ah kasih sayang, saling bekerjasama, tolong menolong serta bersama mendukung satu kepercayaan kepada Allah yang Maha Esa. Ajaran dan tunjuk ajar Nabi Muhammad S.A.W. pada waktu itu menjadi suatu yang penting dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh umatnya dalam mencari kebaikan yang amat dinanti oleh mereka.
Justeru, mereka tidak melepaskan peluang yang ada, sebaliknya terus menerima al-Quran sebagai arah panduan hidup mereka dan berusaha membuat sesuatu dengan baik dan lebih baik dari yang sebelumnya. Mereka bersepakat atas satu matlamat, satu hasrat dan satu akidah. Mereka melaksanakan apa jua bantuan, pertolongan dan bimbingan dengan rasa ikhlas dan bertanggungjawab. Maka tidak hairanlah jika sahabat-sahabat Nabi S.A.W. dan umatnya bersifat sangat tekun dan sabar dalam mengerjakan sesuatu urusan sehingga mereka mencapai kejayaan demi kejayaan dalam apa jua lapangan kehidupan yang mereka ceburi samada dalam bidang pertanian, perniagaan dan penternakan.
Banyak contoh yang boleh kita baca dari tulisan-tulisan tangan para ulama dan pengkaji sejarah Islam seperti kejayaan saudara Abd Al-Rahman bin Aus r.a. yang akhirnya bergelar jutawan adalah kerana kegigihan berusaha mengikut petunjuk al-Quran iaitu berusaha dengan tekun, rajin, jujur dan ikhlas. Sabda Rasulullah S.A.W. :
إِنَّ اللهَ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ
( H. R. al-Baihaki )
Penurunan al-Quran sebenarnya telah memberi tambahan nilai dan membina kualiti hidup sebagai modal insan sebenar yang tidak pernah dirasai oleh umat manusia sebelum ini. Nilai-nilai akhlak al-Quran yang dipelopori oleh Baginda S.A.W. menjadikan kualiti manusia lebih bernilai dan berharga. Kehebatan yang dikurniakan ini telah membangkitkan semangat ingin berusaha untuk merealisasikan ajaran al-Quran. Semua ini dilakukan adalah kerana roh al-Quran berada di dalam jiwa mereka yang menjadikan hidup mereka sentiasa berkembang dan pemikiran mereka merentasi zaman.
Mereka telah mencuba dan mengkaji pelbagai ilmu alam dan kehidupan seperti mencipta ilmu hisab atau matematik yang berjaya menghasilkan satu ilmu yang dinamakan dengan al-Jibra, ilmu falak, ilmu perubatan (at-Tib), ilmu Psikologi. Mereka mengkaji tumbuhan, alam binatang, bahasa pertuturan dan lain-lain lagi. Nama-nama seperti Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al-Khawarizmi, al-Khindi dan lain-lain adalah merupakan antara nama-nama besar dalam sejarah kecemerlangan umat Islam suatu ketika dahulu.
Hari ini kita sebagai umat Islam yang mendukung Wawasan al-Quran, bukan hanya setakat merayakan " Nuzulul Quran " seharusnya menyedari bahawa penurunan al-Quran sebenarnya telah membawa dimensi baru dalam melahirkan umat yang cemerlang seperti pada masa lalu. Kecemerlangan itu telah terbukti dan dibuktikan di dalam masyarakat bahawa ajaran dan petunjuknya telah dapat dilaksanakan dalam masyarakat hari ini.
Daripada peristiwa dan contoh-contoh kecemerlangan umat dahulu kita dapat mengambil pengajaran yang boleh digunakan untuk dilaksanakan dalam kehidupan, antaranya :
1. Peristiwa " nuzulul Quran " telah berlaku dalam bulan Ramadhan dan menjadi satu aset yang besar kepada umat Islam.
2. Penurunannya telah menunjuk jalan, ciri dan cara bagaimana kecemerlangan dalam hidup boleh dicapai.
3. Al-Quran memandu arah kehidupan umat Islam supaya menjadi umat yang hebat dan berjaya.
4. Islam suka umat yang kuat, gagah, hebat, smart dan bekerjaya, dan tidak suka orang yang lemah dan suka meminta-minta dari orang lain.
5. Umat Islam mesti ada identiti yang tersendiri dalam plan kecemerlangan dan sentiasa dicontohi.
6. Al-Quran membawa rahmat ke seluruh alam dan membawa misi perubahan ke arah kemajuan intelektual, ekonomi, sosial dan budaya.
Kesimpulannya, kita amat digalakkan berusaha dan mencapai kejayaan serta menikmati pembangunan yang bertamadun di dunia asalkan ianya boleh menambah rasa takwa kepada Allah s.w.t. lebih-lebih lagi pada saat kita sedang menunaikan ibadah puasa Ramadhan yang mulia ini.
Bacaan Al-Quran oleh Syeikh Abd Al-Basit - Surah Add-Dhuha
Posted by muslim kelana at 11:54 PM 0 comments
Labels: Info Ramadhan
KADAR ZAKAT FITRAH 2008
Bulan Ramadhan ini adalah bulan Barkah. Bulan yang disebut juga Syahrul Tarbiyyah dan Tazkiyyah. Bulan ini sepatutnya menjadi medan melunakkan akal, mematuhi arahan Allah dan menundukkan hawa nafsu.
Kuala Lumpur RM5.20
Labuan RM5.20
Putrajaya RM5.20
Johor RM6.50
Kedah RM7.00
Kelantan RM7.60
Melaka RM6.30
N.Sembilan RM6.50
Pahang RM7.30
Perak RM7.00
Perlis RM5.00/RM7.00
P.Pinang RM7.30
Sabah RM7.70
Sarawak RM7.50
Selangor RM5.20
Terengganu RM6.00/RM7.00/RM8.00
Semoga dengan mengeluarkan zakat akan membersihkan harta yang dimiliki, menyucikan jiwa orang yang mengeluarkannya dan dapat membantu mereka yang memerlukannya.
Posted by muslim kelana at 11:54 PM 0 comments
Labels: Zakat
KELEBIHAN TIDUR SIANG HARI (QAILULAH)
Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab ‘Misykatul Masabih’ disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: “Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya.”
Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata: “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor.”
Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.
Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa “92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.” (Napping News:’Scientific Proof Confirms: Napping Enhances WorkerProductivity,’ from eFuse)
Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai ‘a midafternoon quiescent phase’ atau ‘ a secondary sleep gate.’ Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku ‘The Art of Napping at Work.’
Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka ‘Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.’ Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan.
Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: ‘Parents and Sleep Deprivation,’ Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini. (Laporan saintifik tentang kelebihan tidur tengahari ke atas produktiviti berdasarkan kajian 25 tahun)
Wallahualam
Dipetik dari islam.sukeri.com
Posted by muslim kelana at 4:11 PM 3 comments
Labels: Amalan sunnah
Tuesday, September 16, 2008
BELAJAR BAHASA ARAB
PELAJARAN 4
مُفْرَد - مُثَنَّى - جَمْع
MUFRAD (Tunggal) - MUTHANNA (Dual) – JAMAK (Plural)
Dari segi bilangan, bentuk-bentuk Isim dapat dibahagikan kepada tiga iaitu:
1) ISIM MUFRAD (tunggal) iaitu kata benda yang hanya satu atau sendiri.
2) ISIM MUTHANNA (dual) iaitu kata benda yang jumlahnya dua.
3) ISIM JAMAK (plural) iaitu kata benda yang jumlahnya lebih dari dua.
Bentuk Isim Muthanna (Dual) selalunya mempunyai kaedah tersendiri iaitu diakhiri dengan huruf Nun Kasrah ( نِ ) samada untuk Isim Mudzakkar mahupun Isim Muannath.
Contoh:
رَجُلٌ =seorang lelaki رَجُلاَنِ =dua orang lelaki
جَنَّةٌ =sebuah kebun جَنَّتَانِ=dua buah kebun
مُسْلِمٌ=seorang muslim مُسْلِمَانِ=dua orang muslim
مُسْلِمَةٌ=seorang muslimah مُسْلِمَتَانِ=dua orang muslimah
Adapun Isim Jamak, dari segi bentuknya ia terbahagi kepada dua jenis iaitu:
1. JAMAK SALIM (جمع سالم ) yang bentuknya mempunyai kaedah tersendiri samada Isim Mudzakkar mahupun Isim Muannath. Bagi Isim Mudzakkar, ianya diakhiri dengan penambahan huruf وْ dan نَ daripada Isim Mufradnya. Contoh:
اِبْنٌ=seorang putera بَنُوْنَ=putera-putera
مُسْلِمٌ=seorang muslim مُسْلِمُوْنَ=muslim-muslim
Bagi Isim Muannath pula, ianya diakhiri dengan penambahan huruf ا dan ت daripada Isim Mufradnya. Contoh:
بِنْتٌ=seorang puteri بَنَاتٌ=puteri-puteri
مُسْلِمَةٌ=seorang muslimah مُسْلِمَاتٌ=muslimah-muslimah
2. JAMAK TAKSIR (جمع تكسير ) yang bentuknya tidak mempunyai kaedah tersendiri. Contoh:
رَسُوْلٌ =seorang rasul رُسُلٌ =rasul-rasul
عَالِمٌ =seorang alim عُلَمَاءٌ =orang-orang alim
رَجُلٌ =seorang lelaki رِجَالٌ =lelaki-lelaki
اِمْرَأَةٌ =seorang perempuan نِسَاءٌ =perempuan-perempuan
Ingat, jangan beralih ke pelajaran selanjutnya sebelum mengerti pelajaran di atas dan menghafal semua kosa kata yang baru anda temui.
Posted by muslim kelana at 4:33 PM 0 comments
Labels: Siri Belajar Bahasa Al-Quran
Sunday, September 14, 2008
MUTIARA HIKMAH HARI INI
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.
Posted by muslim kelana at 11:46 AM 0 comments
Labels: Mutiara hikmah hari ini
TAZKIRAH 10
MENSYUKURI NIKMAT ALLAH
Saban masa dan ketika kita menikmati kurniaan Allah. Setiap detik dan saat sejak kita dilahirkan hinggalah dewasa ini, kita tidak putus-putus dikurniakan dengan pelbagai nikmat. Lantaran ianya berlaku saban masa dan menjadi sesuatu yang lumrah, lantas kita tidak perasan dan menghiraukannya. Kita seolah-olah terlupa bahawa ia adalah hadiah dan kurniaan Allah kepada kita. Begitulah perangai kita yang tak ubah seperti kacang lupakan kulit.
Sesuap nasi yang kita makan, setiap teguk air yang kita minum, setiap zarah udara yang kita sedut bahkan setiap pandangan yang kita lihat adalah kurniaan Allah. Tanpa kurniaan ini, kita tidak dapat mengunyah makanan atau meneguk minuman atau menyedut udara di sekeliling kita. Selagi kita hidup di muka bumi ini kita tidak sunyi dari menerima kurniaan ini.
Begitulah penyayangnya Allah yang bersifat dengan Al-Rahman. Allah menganugerahkan kurniaan-Nya kepada semua makhluk, sama ada yang taat kepada-Nya atau sebaliknya. Maka mengapa kita mesti mendustakan kurniaan ini? Allah masih sayang kepada hamba-hamba-Nya meskipun terlalu ramai yang tidak bersyukur di atas nikmat-nikmat itu. Sebanyak 31 kali di dalam al-Quran, Allah mengulangi ayat di bawah sebagai amaran dan ingatan kepada kita supaya menilai semula sejauh mana kesyukuran kita terhadap nikmatNya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Yang mana satu di antara nikmat Tuhan yang kamu dustakan?".
Sebagai makhluk Allah, kita sewajibnya berasa prihatin atas kurniaan ini lalu mensyukuri atas segala nikmat tersebut. Rakaman kesyukuran bukanlah setakat mengucapkan 'alhamdulillah'. Ianya mesti dibuktikan dengan tindakan berdasarkan prinsip 'amal makruf, nahi munkar' atau buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang. Ini dilakukan setiap masa secara konsistan dan terus menerus.
Malangnya terdapat ramai manusia yang lupa daratan dan lupa akan segala kurniaan Allah. Ramai yang tidak mendirikan solat dan segala amalan yang disuruh. Sebaliknya ramai pula yang engkar dan menentang suruhan-Nya dengan melakukan pelbagai jenis kemaksiatan. Allah Maha Mengetahui bahawa ramai di antara hamba-Nya yang tidak bersyukur, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sangat sedikit daripada hamba-hambaKu yang bersyukur".
Kesimpulannya, sebagai menunjukkan rasa berterima kasih kita kepada Allah, kita hendaklah sentiasa mengabdikan diri kepada-Nya dengan segala bentuk amalan ibadat di samping kita meninggalkan kerja-kerja maksiat. Semoga kita termasuk dalam golongan hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Wallahua'lam.
Posted by muslim kelana at 11:37 AM 0 comments
Labels: Tazkirah Pilihan