Kiralah amal-amalmu sebelum engkau diperhitungkan di hari akhirat kelak.
(Zu Nun Al- Misri)
Thursday, September 11, 2008
MUTIARA HIKMAH HARI INI
Posted by muslim kelana at 4:54 PM 1 comments
Labels: Mutiara hikmah hari ini
TAZKIRAH 9
PUASA PENJANA AKHLAK TERPUJI
SALAH satu matlamat kefardhuan puasa Ramadhan ialah untuk menjana suatu natijah akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah SWT. Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala dari-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
Ramadhan merupakan bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut. Ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadah akan lebih memudahkan proses taqarrub (mendekatkan diri seseorang kepada Allah) . Dengan itu seseorang mukmin akan lebih mudah untuk membezakan sesuatu yang hak dan batil.
Dari Abu Hurairah R.A. bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.
2. Para malaikat selalu memintakan keampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurga-Nya sambil berkata, 'Hamba-hamba-Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.'
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?' Beliau menjawab, 'Tidak, kerana orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya apabila sudah menyelesaikan pekerjaannya.' (H.R Ahmad)
Setiap orang Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa pada setiap hari di bulan Ramadhan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak.
Puasa adalah suatu ibadat tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa dan nurani dari segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Melalui ibadat puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertaqwa dan sabar.
Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (H.R Bukhari).
Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dapat kita laksanakan dengan baik, perkara utama yang harus didahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini. Antaranya ialah:
a. Menjaga ibadat puasa dari terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.
b. Membanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.
c. Mengurangkan tidur pada siang hari bulan Ramadhan.
d. Beriktikaf dalam masjid terutamanya pada sepuluh malam terakhir Ramadhan
e. Membanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.
f. Jangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.
Melihat kepada betapa besarnya fadhilat yang bakal diperolehi oleh semua umat muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini, Rasulullah SAW telah memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadhan melalui satu khutbah baginda iaitu:
“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah telah jadikan puasa adalah kefardhuan dan bangun pada malamnya adalah satu tambahan.
Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah ia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardhu di bulan yang lain. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”
Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadhan dan fadhilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda dari Allah SWT.
Usah jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadhan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila datangnya malam pertama Ramadhan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru “ Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan dari api neraka.”
Posted by Wan Marzuki (Majalah CAHAYA Ogos 2006)
Posted by muslim kelana at 4:45 PM 0 comments
Labels: Tazkirah Pilihan
Wednesday, September 10, 2008
MUTIARA HIKMAH HARI INI
(Imam As-Syafie)
Posted by muslim kelana at 2:54 PM 0 comments
Labels: Mutiara hikmah hari ini
Tuesday, September 09, 2008
TAZKIRAH 8
RAMADHAN BULAN MUHASABAH DIRI
Pada dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah. Semasa membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran. Faktor-faktor ini mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan. Amat beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima berpaksikan al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W. Sebaliknya amat rugilah jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (al-Quran & al-Sunnah).
Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah, mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh mana kemaksiatan telah ditinggalkan. Introspeksi begini jarang dapat dilakukan di luar bulan puasa. Sebagaimana kenderaan perlu di'overhaul' setelah lama digunakan, begitulah manusia perlu di'overhaul' jasmani dan rohaninya melalui amalan berpuasa. Bulan puasa dalam aspek ini merupakan masa bagi umat Islam menjalani tarbiyah dan kursus pembinaan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islamiah supaya dapat menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.
Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan ialah syaitan. Syaitan ialah musuh manusia yang utama. Tugas utama dan 'core business' syaitan tidak lain tidak bukan hanya untuk menyesatkan manusia. Setiap detik kerjanya menjahanamkan manusia supaya akan terjun ke neraka seperti mana dirinya yang tiada harapan langsung masuk syurga. Dalam otaknya sudah disetkan begitu. Kita tidak perasan musuh kita yang halus lagi ghaib ini memasang pelbagai strategi untuk memukul kita, manakala kita pula asyik dilalaikan dengan pelbagai tugas, kerja dan amalan harian lain hingga terlupa makhluk syaitan ini hendak memerangkap kita. Nasib baiklah kita ada Allah yang boleh kita minta pertolongan.
Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong, manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memerangkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.
Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi SAW sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya. Jika anggapan kita RamadHan sama dengan bulan-bulan lain, maka peruntukan pahala dan rahsia RamadHan tidak akan kita perolehi dan kecapi kelazatannya sama sekali.
Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang tarawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan gandaan pahala yang banyak.
Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan tidur di waktu siang tidaklah digalakkan sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadailah dengan makanan yang sederhana. Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka.
Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif. Oleh sebab itu, Nabi S.A.W. pernah bersabda: “Ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga”.
Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa berbuka hanya sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja.
Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak ini.
Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam bulan ini saja; ia perlu dihayati seterusnya pada bulan-bulan berikutnya. Ingatlah kita sedang menjalani kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadhan. Budaya sepanjang kursus/bengkel mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain. Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif puasa ini mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita lakukan semoga amalan kita diterima oleh Allah SWT.
Posted by muslim kelana at 8:27 AM 0 comments
Labels: Tazkirah Pilihan
MUTIARA HIKMAH HARI INI
Janganlah engkau berkawan dengan seseorang yang sekiranya persahabatan itu tidak dapat menolongmu apabila mati kelak.
(Malik Bin Dinar)
Posted by muslim kelana at 8:22 AM 0 comments
Labels: Mutiara hikmah hari ini
Monday, September 08, 2008
BELAJAR BAHASA ARAB
PELAJARAN 3
مُذَكَّر - مُؤَنَّث
MUDZAKKAR (Lelaki) - MUANNATS (Perempuan)
Dalam tatabahasa Arab, Isim dapat dibahagikan kepada Mudzakkar (lelaki) atau Muannats (perempuan). Pembahagian ini ada yang memang sesuai dengan jenis jantinanya (untuk manusia dan haiwan) dan ada pula yang merupakan pembahagian secara bahasa saja (untuk benda dan lain-lain).
Contoh Isim Mudzakkar
عِيْسَى (= Isa)
اِبْنٌ (= putera)
بَقَرٌ (= lembu jantan)
بَحْرٌ (= laut)
Contoh Isim Muannats
مَرْيَم (= Maryam)
بِنْتٌ (= puteri)
بَقَرَةٌ (= lembu betina)
رِيْحٌ (= angin)
Dari segi bentuknya, Isim Muannats biasanya ditandai dengan adanya tiga jenis huruf di belakangnya iaitu:
a) Ta’ Marbuthah ( ة ). Misalnya: فَاطِمَة (=Fathimah), مَدْرَسَة (=sekolah)
b) Alif Maqshurah ( ى ). Misalnya: سَلْمَى (=Salma), حَلْوَى (=manisan)
c) Alif Mamdudah ( اء ). Misalnya: أَسْمَاء (=Asma'), سَمْرَاء (=warna perang)
Namun ada pula Isim Muannats yang tidak menggunakan tanda-tanda di atas.
Misalnya: رِيْحٌ (= angin), نَفْسٌ (= jiwa, diri), شَمْسٌ (= matahari)
Bahkan ada pula beberapa Isim Mudzakkar yang menggunakan Ta’ Marbuthah.
Contoh: حَمْزَة (= Hamzah), طَلْحَة (= Thalhah), مُعَاوِيَة (= Muawiyah)
Ingat, jangan beralih ke pelajaran selanjutnya sebelum mengerti pelajaran di atas dan menghafal kosa kata yang baru anda temui.
Posted by muslim kelana at 3:01 PM 0 comments
Labels: Siri Belajar Bahasa Al-Quran
TAZKIRAH 7
RAMADHAN PENGHULU SEGALA BULAN
Alhamdulillah tahun ini kita diberikan kesempatan untuk berpuasa sekali lagi dalam bulan yang mulia ini. Bulan RamadHan atau disebut bulan puasa memang dinanti-nantikan kedatangannya kerana ia dikatakan 'penghulu segala bulan'. Dalam bulan inilah semua orang Islam diwajibkan berpuasa; suatu amalan yang amat tinggi nilainya di sisi Allah S.W.T.
Kenapa Ramadhan dipanggil 'penghulu segala bulan'? Ini adalah kerana dalam bulan ini Allah menurunkan al-Quran kepada nabi Muhammad S.A.W. Di samping itu dalam bulan RamadHan ada satu malam yang dinamakan 'Lailatul-Qadar'. Malam ini mempunyai kelebihan yang menyamai amalan 1000 bulan (83 tahun) malahan lebih lagi. Ini bermakna hanya beramal satu ibadat diberikan pahala seolah-olah mengerjakan ibadat itu selama 83 tahun.
Nabi Muhammad ada menjelaskan "Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya pengampunan manakala akhir Ramadhan merupakan pelepasan dari seksa neraka." Betapa besar rahmat Allah diberikan kepada umat nabi Muhammad S.A.W. Meskipun berusia pendek namun ganjaran pahala yang diberikan seolah-olah menjadikan usia kita lebih panjang.
Rejab, Sya'ban dan Ramadhan adalah gandingan bulan yang mulia. Rejab dikatakan bulan milik Allah, Sya'ban milik nabi Muhammad dan Ramadhan bulan bagi umat Muhammad. Ini bermakna bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini adalah bulan paling istimewa bagi kita umat nabi Muhammad.
Oleh sebab itu, gembira menyambut ketibaan Ramadhan sahaja (belum berpuasa lagi) Allah mengharamkan kita dari api neraka. Malang bagi sebahagian daripada kita terlalu gembira menyambut kedatangan awal tahun sehingga bersekang mata menunggu beramai-ramai ketibaan 1 Januari - 12.00 tengah malam dengan sukaria tetapi dengan kedatangan Ramadhan tidak pula disambut begitu rupa. Neraca apakah penilaian yang kita gunakan?
Sepanjang Ramadan kita berpuasa, menahan anggota dari melakukan perkara yang membatal atau ‘mencederakan’ puasa. Setiap saat dipermudahkan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Pendek kata kita boleh mendapat pahala sepanjang masa dalam Ramadhan. Ini tidak dapat dilakukan pada bulan-bulan lain dan dalam ibadat-ibadat lain.
Begitu hebatnya tawaran dan anugerah Allah sehinggakan Malaikat Jibril menerangkan kepada Baginda S.A.W. bahawa orang yang tidak memperolehi pengampunan dalam bulan ini adalah orang yang betul-betul celaka dan malang. Mudah-mudahan kita semua tidak termasuk dalam golongan yang tidak mendapat rahmat Allah sepanjang bulan Ramadhan ini.
Jibril mengatakan demikian lantaran amat mudah sekali mendapatkan keampunan Allah dalam bulan ini. Hal ini tidak berlaku dalam bulan-bulan lain. Mereka yang terlalu engkar dan melawan Allah sahaja yang terkecuali dari mendapat keampunan. Pintu kerahmatan ditutup baginya.
Sama-samalah kita memohon keampunan ke hadrat Allah S.W.T. sempena Ramadhan tahun ini semoga kita memperolehi keselamatan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Amin. Kita belum pasti akan bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan. Oleh itu, beribadatlah sebanyak mungkin dengan melakukan segala ketaatan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya di samping mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.
Ya Allah, terimalah amalan kami yang kerdil dan bergelumang dengan dosa ini. Ampunilah kami sebagaimana Engkau mengampunkan umat terdahulu. Sesungguhnya kami sangat bergembira dengan kedatangan Ramadhan ini. Kami sedar sabda rasul-Mu bahawa mereka yang gembira menyambut Ramadhan, Engkau haramkan dari api neraka. Oleh itu kami memohon sepenuh hati semoga kami juga Engkau jauhkan dari azab neraka. Amin.
Posted by muslim kelana at 2:57 PM 0 comments
Labels: Tazkirah Pilihan
MUTIARA HIKMAH HARI INI
Janganlah engkau membenci terhadap orang yang membuat dosa; kerana tidak mengetahui, sebelum meninggal dunia dia bertaubat kepada Allah dan diterima taubatnya, maka dia menjadi orang yang tinggi darjatnya.
(Zu Nun Al-Misri)
Posted by muslim kelana at 2:53 PM 0 comments
Labels: Mutiara hikmah hari ini
INDAHNYA RAMADHAN
Bulan Ramadhan merupakan bulan keberkatan, bulan kerahmatan, bulan keampunan serta bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat bagi mencari keredhaan Allah sepanjang Ramadhan ini, marilah kita meneliti beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi )
Sabda Rasulullah SAW lagi yang maksudnya :Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.(- HR Imam Nasai'e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi-)
Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya : Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa, maka ia untuk-Ku dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara .Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa. Demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya, apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan Baihaqi)
Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun (HR Tirmidzi)
Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa'd R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: 'Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: 'Dimanakah orang-orang yang berpuasa?' Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk daripadanya.' (HR Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 'Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: 'Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia(orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.' (H.R Muslim)
Diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda yang maksudnya: 'Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan)70 tahun.' (HR Bukhari)
Dari Ibnu 'Umar RA, katanya Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud: 'Carilah malam qadar itu pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadhan. Jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang masih tinggal.' (HR Muslim)
Dari Abdullah bin Umar RA. bahawa Nabi SAW bersabda: 'Puasa dan Al-Quran memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata, 'Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.' Dan Al-Quran pun berkata, 'Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.' Lalu syafaat keduanya diterima Allah.'( H.R Ahmad)
Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: 'Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kesturi.
2. Para malaikat selalu memintakan keampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurga-Nya sambil berkata, 'Hamba-hamba-Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.'
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?' Beliau menjawab, 'Tidak, karena orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya apabila sudah menyelesaikan pekerjaannya.' (H.R Ahmad)
Dari Jabir RA bahawa Nabi SAW bersabda: 'Puasa itu perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka.' (HR Ahmad)
Rasulullah SAW bersabda: Sahur itu seluruhnya berkat, karena itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, karena Allah dan malaikat-Nya memberi salawat kepada orang-orang yang makan pada waktu sahur. (H.R Ahmad)
Sabda Rasulullah SAW.; 'Tiga doa yang sangat mustajab; doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan doa orang yang musafir.' (H.R Ahmad, Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi)
Nabi SAW bersabda; 'Tidurnya orang yang puasa tetap dalam ibadat dan diamnya dianggap tasbih dan amalnya dilipat gandakan dan doanya mustajab dan dosanya diampunkan.' ( Riwayat Al Baihaqi)
Rasululah SAW bersabda; 'Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. 'Aku ini puasa'. ( Sahih Bukhari)
Semoga paparan ini dapat membuka minda kita bagi merebut peluang keemasan yang ada dalam bulan Ramadhan kali ini. Selamat Menjalani Ibadat Puasa!
Post by Haslinda Lukman (MAJALAH CAHAYA, OGOS 2006)
Posted by muslim kelana at 6:47 AM 0 comments
Labels: Info Ramadhan
Sunday, September 07, 2008
BELAJAR BAHASA ARAB
PELAJARAN 2
اِسْم عَلَمُ
ISIM 'ALAM (Kata Nama Benda)
Dalam kategori Isim, ada yang disebut dengan Isim 'Alam iaitu Isim yang merupakan nama dari seseorang atau sesuatu. Di bawah ini beberapa contoh Isim 'Alam (Kata Nama Benda). Bacalah dengan suara yang nyaring dan jelas satu persatu:
مُحَمَّد - آدَم - إِدْرِيْس - نُوْح - إِبْرَاهِيْم - إِسْمَاعِيْل - إِسْحَاق - يَعْقُوْب - يُوْسُف - مُوْسَى - سُلَيْمَان - يُوْنُس - عِيْسَى - مَرْيَم - خَدِيْجَة - عَائِشَة - فَاطِمَة - عُمَر - عُثْمَان - جِبْرِيْل - مِيْكَال - لُقْمَان - زَيْد - فِرْعَوْن - قَارُوْن - إِبْلِيْس - عِفْرِيْت - مَكَّة - مَدِيْنَة
Cari dan tulis Isim-isim 'Alam yang lain yang anda temui dan ketahui.
Posted by muslim kelana at 10:56 PM 0 comments
Labels: Siri Belajar Bahasa Al-Quran
TAZKIRAH 6
BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH
Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.
Dalam kisah Nabi, ada diceritakan nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub menjawab 'Ya benar, demi keagungan-Mu apalah makna kekayaan tanpa keberkatan-Mu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.
1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal
4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari (cari anak-anak yatim untuk diberikan sedekah) Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya (pemberian tangan kanan tanpa diketahui oleh tangan kiri). Bersedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita kerana sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 92.
9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)
10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jual beli (perniagaan). Menurut Nabi SAW: 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardhu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini seluruh umat Islam berdosa.
11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.
Dalam satu hadis Nabi menerangkan setiap awal pagi semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'
Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: Takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabda Baginda lagi: Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.
Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.
Posted by muslim kelana at 10:35 PM 0 comments
Labels: Tazkirah Pilihan
Soal Jawab Puasa 7
Soalan:
Apakah niat untuk bersahur dan berbuka dalam bahasa Rumi dan apakah maknanya?
Jawapan:
Bersahur dan berbuka puasa tidak memerlukan niat. Yang diperlukan niat adalah ibadat puasa itu sendiri.Oleh kerana bersahur dan berbuka puasa adalah aktiviti makan dan minum, maka doa makan dan minum juga boleh dibaca sebelum sahur dan waktu berbuka. Pada waktu berbuka boleh ditambah dengan doa yang bermaksud, “Ya Allah, kerana-Mu aku berpuasa, dengan-Mu aku beriman dan dengan rezeki-Mu aku berbuka.”
Posted by muslim kelana at 10:27 PM 0 comments
Labels: Soal Jawab Puasa
MUTIARA HIKMAH HARI INI
Sekiranya cintamu itu benar, tentulah kamu mentaati-Nya, kamu mematuhi segala perintah-Nya, kerana seseorang itu mentaati orang yang dicintai.
(Penyair Arab)
Posted by muslim kelana at 6:15 PM 0 comments
Labels: Mutiara hikmah hari ini