RAMADHAN PENGHULU SEGALA BULAN
Alhamdulillah tahun ini kita diberikan kesempatan untuk berpuasa sekali lagi dalam bulan yang mulia ini. Bulan RamadHan atau disebut bulan puasa memang dinanti-nantikan kedatangannya kerana ia dikatakan 'penghulu segala bulan'. Dalam bulan inilah semua orang Islam diwajibkan berpuasa; suatu amalan yang amat tinggi nilainya di sisi Allah S.W.T.
Kenapa Ramadhan dipanggil 'penghulu segala bulan'? Ini adalah kerana dalam bulan ini Allah menurunkan al-Quran kepada nabi Muhammad S.A.W. Di samping itu dalam bulan RamadHan ada satu malam yang dinamakan 'Lailatul-Qadar'. Malam ini mempunyai kelebihan yang menyamai amalan 1000 bulan (83 tahun) malahan lebih lagi. Ini bermakna hanya beramal satu ibadat diberikan pahala seolah-olah mengerjakan ibadat itu selama 83 tahun.
Nabi Muhammad ada menjelaskan "Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya pengampunan manakala akhir Ramadhan merupakan pelepasan dari seksa neraka." Betapa besar rahmat Allah diberikan kepada umat nabi Muhammad S.A.W. Meskipun berusia pendek namun ganjaran pahala yang diberikan seolah-olah menjadikan usia kita lebih panjang.
Rejab, Sya'ban dan Ramadhan adalah gandingan bulan yang mulia. Rejab dikatakan bulan milik Allah, Sya'ban milik nabi Muhammad dan Ramadhan bulan bagi umat Muhammad. Ini bermakna bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini adalah bulan paling istimewa bagi kita umat nabi Muhammad.
Oleh sebab itu, gembira menyambut ketibaan Ramadhan sahaja (belum berpuasa lagi) Allah mengharamkan kita dari api neraka. Malang bagi sebahagian daripada kita terlalu gembira menyambut kedatangan awal tahun sehingga bersekang mata menunggu beramai-ramai ketibaan 1 Januari - 12.00 tengah malam dengan sukaria tetapi dengan kedatangan Ramadhan tidak pula disambut begitu rupa. Neraca apakah penilaian yang kita gunakan?
Sepanjang Ramadan kita berpuasa, menahan anggota dari melakukan perkara yang membatal atau ‘mencederakan’ puasa. Setiap saat dipermudahkan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Pendek kata kita boleh mendapat pahala sepanjang masa dalam Ramadhan. Ini tidak dapat dilakukan pada bulan-bulan lain dan dalam ibadat-ibadat lain.
Begitu hebatnya tawaran dan anugerah Allah sehinggakan Malaikat Jibril menerangkan kepada Baginda S.A.W. bahawa orang yang tidak memperolehi pengampunan dalam bulan ini adalah orang yang betul-betul celaka dan malang. Mudah-mudahan kita semua tidak termasuk dalam golongan yang tidak mendapat rahmat Allah sepanjang bulan Ramadhan ini.
Jibril mengatakan demikian lantaran amat mudah sekali mendapatkan keampunan Allah dalam bulan ini. Hal ini tidak berlaku dalam bulan-bulan lain. Mereka yang terlalu engkar dan melawan Allah sahaja yang terkecuali dari mendapat keampunan. Pintu kerahmatan ditutup baginya.
Sama-samalah kita memohon keampunan ke hadrat Allah S.W.T. sempena Ramadhan tahun ini semoga kita memperolehi keselamatan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Amin. Kita belum pasti akan bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan. Oleh itu, beribadatlah sebanyak mungkin dengan melakukan segala ketaatan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya di samping mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.
Ya Allah, terimalah amalan kami yang kerdil dan bergelumang dengan dosa ini. Ampunilah kami sebagaimana Engkau mengampunkan umat terdahulu. Sesungguhnya kami sangat bergembira dengan kedatangan Ramadhan ini. Kami sedar sabda rasul-Mu bahawa mereka yang gembira menyambut Ramadhan, Engkau haramkan dari api neraka. Oleh itu kami memohon sepenuh hati semoga kami juga Engkau jauhkan dari azab neraka. Amin.
Nama dan sifat Allah pada Nabi
3 years ago
0 Comments:
Post a Comment