Wednesday, October 01, 2008

MUTIARA HIKMAH HARI INI

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Tuesday, September 30, 2008

MAKNA SEBENAR HARI RAYA

Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan telah pun sampai ke penghujungnya dan telah meninggalkan kita. Bulan Ramadhan adalah bulan ujian. Seluruh umat Islam akan menempuh ujian di bulan tersebut. Segelintir yang berjaya dan ramai yang gagal. Sebaliknya ada juga sesetengah umat Islam yang enggan terus terlibat dengan ujian di bulan tersebut.

Kini Aidil Fitri telah pun tiba. Kedatangan Aidil Fitri perlu disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana itulah tanda bahawa perjuangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadhan telah berjaya. Namun demikian, ini bukanlah bererti bahawa perjuangan tersebut terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya amalan-amalan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan wajar diteruskan dan amalan yang haram ditinggalkan.

Marilah kita menyambut hari raya ini dengan cara yang sederhana tetapi penuh dengan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T. dan mengharapkan keberkatan daripada-Nya. Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kembali mengikut hawa nafsu yang cenderung kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, janganlah dikotorkan semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran, janganlah diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau akhlak yang sudah dipulihkan, janganlah dirosakkan pula kerana dorongan syaitan.

Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu. Oleh yang demikian, di antara perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah:

* Tahu menjaga dan menghargai masa serta menggunakannya dengan sebaik-baiknya.
* Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu dan keinginan yang tidak wajar serta yang bertentangan dengan syariat.
* Sikap gemar bersedekah, pemurah, suka menolong orang dengan menghulurkan bantuan dan belas ihsan.
* Kesungguhan beribadat kepada Allah S.W.T. dan sifat suka berjemaah di masjid.
* Sifat tabah, sabar dan tahan diuji serta lain-lain lagi.

Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan yang baik samada berupa ibadat ataupun perkara-perkara kebajikan.

Aidil Fitri menurut perspektif Islam merupakan hari yang berkat dan hari yang hanya dikhususkan bagi kaum Muslimin dan merupakan salah satu syiar Islam. Bagi orang yang telah dapat menyempurnakan ibadat puasa selama sebulan dengan sebenar-benar puasa sudah tentu akan bergembira dan bersyukur dengan kedatangan satu Syawal kerana hari raya adalah hari menerima ‘hadiah’ atau ganjaran daripada Allah S.W.T. khusus bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan Ramadhan sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi S.A.W. yang diriwayatkan daripada Saad bin Aus Al-Ansari daripada ayahnya R.A. baginda bersabda yang maksudnya:

"Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum Muslimin menghadap Tuhan yang Maha Pemurah yang memberikan kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan Qiamullail, maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya, maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu, maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru : ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari Al-Jaizah (hari mendapat ganjaran)".

Sebenarnya hari raya Aidil Fitri dirayakan kerana meraikan kejayaan orang yang telah berjaya berhadapan dengan ujian di bulan Ramadhan. Dengan kejayaan tersebut, mereka layak menerima anugerah daripada Allah S.W.T. Walaupun hadiahnya tidak berbentuk sijil atau syahadah dan tidak disampaikan di atas pentas dewan pada pagi hari raya, tetapi anugerah tersebut tetap tersimpan untuk diserahkan di pentas hari akhirat kelak.

Hadiah bagi ‘pemenang’ ujian di bulan Ramadhan

Apakah hadiah-hadiah yang bakal diterima oleh mereka yang telah berjaya menempuh ‘peperiksaan’ di bulan Ramadhan itu?. Di antara janji-janji yang disediakan kepada ‘pemenang’ di bulan Ramadhan adalah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Usahakanlah pada hari raya untuk dapat berzikir dan melakukan amal-amal kebaikan dan kebajikan seperti sembahyang, zakat, bertasbih dan bertahlil. Kerana sesungguhnya hari raya ialah hari di mana Allah Taala mengampuni dosa-dosa kamu sekalian dan memperkenankan doamu sekalian dan memandang kamu sekalian dengan rahmat”.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Apabila tiba saat hari raya, Allah Taala mengirim para malaikat. Maka turunlah mereka ke bumi pada setiap negara. Maka berseru: “Hai umat Muhammad! Keluarlah kamu sekalian menuju Tuhan yang Maha Pemurah”. Maka apabila mereka keluar menuju tempat sembahyang masing-masing, Allah berfirman: “Saksikanlah wahai para malaikat-Ku bahawa sesungguhnya Aku memberikan pahala bagi puasa mereka ialah keredhaan-Ku dan keampunan-Ku”.

Berdasarkan dua hadis tersebut, antara hadiah yang Allah akan anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. kerana kejayaan berhadapan dengan ujian Ramadhan boleh disimpulkan sebagai berikut:

Pertama: Mendapat keampunan-Nya
Kedua: Doa dimakbulkan oleh-Nya
Ketiga: Mendapat rahmat-Nya

Keempat: Mendapat keredhaan-Nya


Bagaimana mengetahui siapa yang berjaya dan siapa yang gagal dalam ujian Ramadhan

Dapatkah seseorang itu mengetahui dalam kalangan mereka, siapakah di antara mereka yang telah berjaya menempuh ujian Ramadhan dan bakal menerima ‘hadiah’ daripada Allah S.W.T. dan siapakah pula di antara mereka yang telah gagal dalam ujian di bulan tersebut. Jawapannya, tiada seorang pun yang dapat mengetahuinya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui siapa yang berjaya dan siapa yang gagal atau kecundang. Bahkan para malaikat pun tidak mengetahuinya. Sebab itulah Allah mengatakan bahawa pahala puasa, Dia sahaja yang membalasnya.

Walau bagaimanapun, orang yang layak menerima anugerah sempena kejayaannya menghadapi ujian di bulan Ramadhan mempunyai tanda-tanda lahiriah yang dapat disenaraikan seperti berikut:

Pertama: Fikirannya telah dibersihkan oleh Al-Quran dari sebarang khurafat, tahyul, isme dan ideologi yang diakal-akalkan oleh manusia. Fahaman kebendaan dan kepentingan diri turut terhapus.
Kedua: Nafsu mereka telah terdidik hingga mudah melaksanakan segala perintah Allah dan Rasul-Nya.
Ketiga: Memiliki sifat-sifat mahmudah samada dengan Allah dan juga sesama manusia seperti pemurah, sabar, redha, tawakal, kasih sayang, sopan santun dan lain-lain lagi.
Keempat: Melalui latihan di bulan Ramadhan akan menjadikan mereka sabar dan tabah berhadapan dengan sebarang ujian selepas bulan tersebut.

Inilah di antara tanda-tanda mereka yang berjaya mendapat anugerah daripada Allah S.W.T. Tanda-tanda ini boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai dan menyuluh terhadap apa yang diamalkan sepanjang sebulan Ramadhan yang lalu.

Sesiapa yang berjaya, dialah yang layak merayakan hari raya. Sebaliknya mereka yang gagal sepatutnya terasa malu untuk meraya dan memeriahkan hari tersebut. Malahan mereka yang gagal inilah yang bersukaria dan bergembira memeriahkannya. Apa yang terjadi hari ini, mereka yang tidak bersungguh-sungguh berhadapan dengan ujian Ramadhan lebih bersiap sedia untuk memeriahkan hari raya.

Mereka sebenarnya tidak tahu menilai diri, sebaliknya telah menganggap dirinya berjaya. Sebab itulah apabila berhadapan dengan hari raya, mereka cemarkan hari tersebut dengan melakukan pelbagai macam maksiat dan dosa. Mereka ini sudahlah gagal berhadapan dengan ujian di bulan Ramadhan, sebaliknya terus terperangkap dengan jebak syaitan pada hari raya.

Di antara adab berhari raya

Pada ketika ini kita semua sedang dalam suasana menyambut Aidilfitri. Dalam keghairahan, kemeriahan dan kegembiraan menyambut hari raya yang mulia, umat Islam diingatkan agar jangan melampaui lunas-lunas dan batasan yang telah ditetapkan oleh Islam yang hanya akan mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan sepanjang bulan Ramadhan. Ini kerana dibimbangi hari raya yang dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai anugerah kerana kejayaan hamba-hamba-Nya beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu selama sebulan bertukar menjadi hari untuk menghimpunkan dosa-dosa yang tidak dapat dilakukan sepanjang bulan Ramadhan.

Ketika sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada golongan yang memerlukan. Amalan bersedekah merupakan cara terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Selain daripada itu, dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi hari raya, perlu dielakkan campuraduk antara amalan-amalan yang baik dengan perkara yang ditegah. Di antaranya pembaziran dalam penyediaan makanan dan minuman.

Selain itu, percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan daripada berlaku. Perkara-perkara maksiat yang ditegah oleh syarak mestilah dijauhi dan janganlah melakukan perlanggaran batas-batas agama. Umat Islam juga perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara. Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah.

Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari Allah S.W.T. Wallahu A’lam.

SEBAB DINAMAKAN AIDIL FITRI

Mengapa pada satu Syawal, umat Islam merayakan hari tersebut sebagai hari raya?. Mengapakah hari tersebut dinamakan sebagai hari raya Aidil Fitri atau hari raya fitrah. Sebabnya, hari tersebut menandakan betapa umat Islam telah berjaya bermujahadah (menahan keinginan nafsu) dan beribadah sepanjang bulan Ramadhan. Ertinya, pada satu Syawal, mereka telah berjaya mengembalikan diri kepada fitrah semulajadinya iaitu beribadah kepada Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ والإِنْسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”. (Adz-Dzaariyat: 56)

Jelaslah bahawa Allah menjadikan manusia untuk beribadah kepada-Nya. Ertinya, sepanjang bulan Ramadhan, melalui mujahadah dan ibadah yang tepat, memenuhi syarat dan rukunnya, serta dapat menghayati roh dan jiwa ibadah itu, manusia akan dapat mengembalikan dirinya, lahir dan batin kepada fitrah semulajadi kenapa ia diciptakan.

Proses mengembalikan manusia kepada fitrah semulajadinya itu berlaku melalui latihan-latihan ibadah yang diperintahkan pada bulan Ramadhan, di antaranya ialah dengan berpuasa selama sebulan, melakukan mujahadatunnafsi (menahan keinginan nafsu), menunaikan solat sunat Tarawih, memperbanyakkan membaca Al-Quran, mengeluarkan zakat fitrah dan memperbanyakkan bersedekah dan amalan-amalan lain yang sangat dituntut mengerjakannya sepanjang bulan Ramadhan.

Proses kembali kepada fitrah semulajadi manusia yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan mungkin terjadi secara langsung atau sebaliknya, tetapi hasilnya akan terasa oleh kita. Adakah bertambah atau tidak iman kita, jinak atau tidak nafsu kita, bertambah baik atau tidak akhlak kita?. Adakah bertambah atau tidak cinta kita kepada Allah dan rindu kita kepada akhirat?. Bertambahkah pengorbanan dan perjuangan kita pada jalan Allah? Bagaimana dengan sifat rendah diri, pemurah, baik sangka, zuhud, sabar, redha, berkasih sayang sesama Muslim dan lain-lain; sudahkah menjadi akhlak kita?. Jika jawapannya tidak, itu tandanya kita tidak berpuasa dengan sebenar-benar puasa (berpuasa mengikut disiplin syariat lahir dan batin) dan tidak beribadah sepanjang bulan Ramadhan.

Mengapa manusia perlu kembali kepada fitrah?. Ramadhan adalah bulan latihan dan bulan ujian. Latihan-latihan ibadah yang diperintahkan pada bulan ini, sekiranya dilaksanakan mengikut disiplin syariat lahir dan batin, mampu mengembalikan manusia kepada fitrah murninya sepertimana sewaktu ia dilahirkan ke dunia.

Ketika roh dihadapkan ke hadrat Allah S.W.T. sewaktu berada di alam roh, roh (hati) sudah kenal dan tunduk kepada Allah dan mengaku sebagai hamba-Nya sebagaimana firman Allah:

أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلى شَهِدْنَا

“Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab: Ya; kami menjadi saksi (Engkaulah Tuhan kami)”. (Al-A’raf: 172)

Namun, apabila tiba ke dunia yang sementara ini, roh manusia diiringi dengan nafsu dan syaitan serta dipengaruhi oleh segala macam tipu daya kenikmatan dan kelazatan dunia, sehingga menjadikan roh derhaka dan lupa ikrarnya kepada Tuhan yang sebenar iaitu Allah S.W.T. lalu manusia bertuhankan ‘tuhan-tuhan’ selain daripada Allah samada sedar atau tidak.

Umat Islam, sekalipun mengaku bahawa Allah Tuhannya, namun dalam kebanyakan tindak-tanduknya, mereka ‘bertuhankan’ hawa nafsu. Amalan lahir, apatah lagi amalan batin yang mereka lakukan adalah perbuatan-perbuatan yang diperintahkan oleh nafsu. Firman Allah S.W.T.:

أَفَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلـهَهُ هَوَهُ

“Maka pernahkah engkau perhatikan orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya”. (Al-Jaathiah: 23)

Manusia yang mati dalam keadaan fitrahnya kotor dengan sifat-sifat mazmumah, bererti ia mati dalam derhaka kepada Allah. Justeru, kita wajib melakukan amalan-amalan yang mampu membersihkan hati. Amalan puasa adalah amalan yang sebaik-baiknya. Sebab itulah, Allah mewajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Puasa yang dilakukan dengan sebaik-baiknya akan mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang murni.

Beruntunglah orang-orang yang beroleh kemenangan dalam menjalani latihan-latihan dan ujian-ujian sepanjang bulan Ramadhan iaitu orang-orang yang berpuasa. Mereka inilah yang dapat membuka segala pintu syurga. Merekalah kekasih Allah yang telah berjaya melatih serta mendidik hawa nafsu mereka dan digantikan dengan jiwa yang aman dan tenteram, roh yang kembali kepada fitrah murninya yang asal. Itulah roh yang ‘bertuhankan’ Allah S.W.T. Itulah kemenangan yang hakiki di sisi Allah sebagaimana firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّهَا

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan jiwanya. Dan rugilah siapa yang mengotorkannya”. (Asy-Syam: 9-10)

Allah S.W.T. turut memuliakan jiwa-jiwa yang suci ini sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِى إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً فَادْخُلِى فِى عِبدِى وَادْخُلِى جَنَّتِى

“Wahai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku”. (Al-Fajr: 27-30)

Monday, September 29, 2008

GEMA TAKBIR HARI RAYA

Islam telah memberikan beberapa garis panduan yang sewajarnya menjadi amalan umat Islam dalam menghadapi kemeriahan berhari raya. Antara amalan sunat yang dianjurkan untuk dijadikan amalan menjelang hari raya ialah memperbanyakkan bertakbir dan bertahmid kepada Allah bermula dari waktu terbenam matahari malam hari raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang hari raya. Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah S.W.T.

وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن

Maksud : "Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadhan (29 atau 30 hari), dan bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Al-Baqarah : 185)

Sabda Rasullullah S.A.W. pula yang maksudnya: "Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid."

Seharusnya umat Islam jangan terlalu disibukkan dengan aktiviti persiapan hari raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah takbir yang dibenci oleh syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

Di dalam kitab-kitab Fiqh dijelaskan bahawa takbir hari raya itu terbahagi kepada dua:

1. Takbir Mursal: Ia sunat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim atau musafir, di masjid atau di jalan, dengan cara duduk atau berdiri, di pasar-pasar, di rumah-rumah kediaman dan sebagainya. Waktunya bermula dari ghurub (terbenam) matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok hari. Demikian juga bagi Takbir 'Id Al-Adhha (Hari Raya Qurban) sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat 'Id Al-Adha dilaksanakan.

2. Takbir Muqaiyad: Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunat dilafazkan setiap kali selesai solat. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9) dan berakhir selepas Asar 13 Zulhijjah.

Daripada al-Walid bin Muslim katanya : “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua : “Ya, adalah ‘Abdullah bin ‘Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”

Bertakbir pada pagi hari raya ketika keluar dari rumah menuju ke tempat mendirikan solat dan sehingga keluarnya Imam adalah suatu perkara yang benar-benar masyhur di sisi generasi Salaf. Sekumpulan ulama yang menulis seperti Ibn Abi Syaibah, ‘Abdul Razak dan al-Firyabi dalam kitabnya Ahkam al-‘Idain menukilkan perkara ini dari generasi Salaf, kerana itu Nafi’ bin Jubair sentiasa akan bertakbir (pada pagi hari raya) dan beliau menganggap pelik orang-orang yang tidak bertakbir (pada pagi hari raya) sambil berkata : “Apakah kamu semua tidak bertakbir?”

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

Lafaz Takbir Hari Raya

Di dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibn Mas’ud r.a. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz :

اللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ لاَ إلهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد

Maksudnya : Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada ilah melainkan Allah dan Allah yang Maha Besar, Allah yang Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”

Ibn Abi Syaibah juga meriwayatkan di kesempatan yang lain dengan sanadnya sendiri, di mana takbir itu diucapkan sebanyak 3 kali. Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat di masjid, di rumah dan di pasar-pasar. Berikut adalah lafaz takbir hari raya beserta maknanya. Marilah hayati bersama ucapan takbir dan tahmid ini.

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

************
اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا
Allah Maha Besar sebesar-besarnya

وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا
Dan Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) sebanyak-banyaknya

وَسُبْحَانَ اللهُ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً
Dan Subhanallah (Maha Suci Allah) pagi dan petang

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah

وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ
kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya

مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنُ
dengan ikhlas untuk agama (Islam)

وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ
walaupun dibenci oleh golongan kafir

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa

صَدَقَ وَعْدَهُ
yang benar janji-Nya

وَنَصَرَ عَبْدَهُ
dan yang menolong hamba-Nya

وَأَعَزَّ جُنْدَهُ
dan yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin)

وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

blogger templates | Make Money Online