Saturday, September 06, 2008

BELAJAR BAHASA ARAB

PELAJARAN 1

أَقْسَامُ الْكَلِمَةُ

PEMBAHAGIAN PERKATAAN

Semua bahasa tersusun dari tiga komponen utama iaitu:

1. Satuan bunyi yang disebut "huruf" atau "abjad".
Contoh: م - س - ج - د

2. Susunan huruf yang mempunyai erti tertentu yang disebut "kalimat" atau "kata".
Contoh: مَسْجِدٌ (= masjid)

3. Rangkaian kata yang mengandung fikiran yang lengkap yang disebut "jumlah" atau "ayat".
Contoh:
أُصَلِّيْ فِي الْمَسْجِدِ(= saya solat di masjid)

Dalam tata bahasa Arab, "kalimat" atau "kata" dapat dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu:

1. ISIM ( اِسْم ) atau "kata nama". Contoh: مَسْجِد (= masjid)

2. FI'IL ( فِعْل ) atau "kata kerja". Contoh: أُصَلِّيْ (= saya solat)

3. HARF ( حَرْف ) atau "kata tugas". Contoh: فِيْ (= di, dalam, pada)

Penggunaan istilah Kata Nama, Kata Kerja dan Kata Tugas dalam tata bahasa Melayu, tidak setepat penggunaan istilah Isim, Fi'il dan Harf dalam tata bahasa Arab. Namun bolehlah digunakan untuk sekadar mendekatkan pengertian.

Soal Jawab Puasa 6

Soalan:

Apakah itu iktikaf?

Jawapan:

Iktikaf ertinya berhenti seketika atau lebih di dalam masjid dengan niat beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah. Hukumnya sunat dan teristimewanya pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Sayyidatina Aisyah R.A. meriwayatkan yang maksudnya:“Adalah Rasulullah S.A.W. melakukan iktikaf sesudah tanggal 20 Ramadhan. Hal ini menjadi amalan Baginda hingga Baginda wafat. Niat iktikaf adalah seperti: “Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini kerana Allah ta’ala.”

TAZKIRAH 5

RAMADHAN BULAN MENAMBAH KEBAIKAN

RAMADHAN adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh orang soleh. Bulan yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai 'bulan umatku'; satu-satunya umat yang dikurniakan dengan bulan mulia dalam sejarah kewujudan manusia.

Kaum nabi terdahulu tidak pernah dikurniakan oleh Allah SWT dengan mana-mana bulan mulia. Bukan saja Ramadhan kemengandungi seribu rahmat, malah menunggu-nunggu datangannya pun adalah rahmat Ilahi. Ini seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadhan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Sebagai mana pintu syurga dibuka pada bulan Ramadhan, pintu keberkatan, kebaikan, pintu kasih-sayang, kemaafan, hidayah dan petunjuk juga terbuka. Pintu neraka tertutup rapat, sebagaimana jalan ke neraka juga tersekat. Jalan ke syurga terbentang luas hingga Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud: "Tidur orang yang berpuasa pada bulan puasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, manakala ibadatnya dilipatgandakan pahalanya oleh Allah".

Ramadhan adalah bulan kerehatan dan kelapangan daripada segala hiruk pikuk dan kesibukan dunia. Bulan kita berhenti sebentar daripada keserabutan kejar-mengejar di pentas dunia, untuk melihat ke dalam diri sendiri terhadap cebisan iman yang masih tinggal serta dosa pahala yang pernah diperbuat selama setahun. Justeru kita dianjurkan agar meningkatkan keimanan.

Keempat-empat komponen kewujudan manusia hendaklah diperkukuhkan dengan neraca iman. Tubuh badan bertambah taat, roh makin bercahaya, akal penuh bijaksana dan nafsu bak air tasik tenang tidak berkocak.

Berhenti sebentar berfikir dengan rasional status perhubungan kita dengan Allah SWT selama ini, ketaatan kepada Rasulullah SAW serta apa yang dibuat untuk agama, bangsa, negara, ibu bapa, keluarga, jiran tetangga dan diri sendiri?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa saja yang berpuasa pada Ramadhan dengan penuh iman dan menghisab diri sendiri akan diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Bagi mereka yang mencari kebaikan Ramadhan, pelbagai peluang diberikan. Malah bagi mereka yang belum mampu mengerjakan haji, sama ada kerana masalah kewangan, kekurangan ilmu atau belum dapat kuota mengerjakannya, dia boleh saja sekurang-kurang mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan.

Seperti kisah yang diceritakan Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya kepada seorang wanita dari kaum Ansar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Apakah yang menghalang kamu daripada mengerjakan ibadat haji bersamaku."

Wanita itu menjawab: Sebenarnya tidak ada halangan bagi kami, cuma kami hanya mempunyai dua unta. Suami dan anakku sudah pergi mengerjakan haji dengan seekor unta. Tinggallah kepada kami seekor unta untuk mengangkat air.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila tiba Ramadhan pergilah mengerjakan umrah kerana mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan pahalanya sama dengan pahala mengerjakan haji." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Begitu juga pada malam Ramadhan, peluang terbuka luas untuk menghidupkan malamnya dengan mendirikan solat Tarawih. Saidina Abu Hurairah ada menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Ramadhan walaupun bulan kerehatan, ia bukanlah bulan untuk bermalas-malasan, menjadikan orang Islam tidak produktif atau menjadikan alasan berpuasa untuk tidak membereskan sebarang pekerjaan.

Sepatutnya pada bulan Ramadhan, umat Islam bertambah cergas, kuat kerja, aktif dan lebih kuat semangat. Ini kerana setiap tanggungjawab yang dibereskan pasti mendapat ganjaran berlipat ganda.

Ramadhan juga adalah bulan kemurahan, murah hati dengan mengeluarkan zakat dan sedekah. Namun, Ramadan bukan bulan pembaziran dan menambah daya nafsu serakah. Bulan ini kita berkongsi kebaikan, pahala dan keberkatannya.

MUTIARA HIKMAH HARI INI

Jangan tinggalkan amalan agamamu kerana takut akan musuh yang mengganggumu bahkan mereka itu mengganggu Allah.
(Hassan Al-Basri)

Friday, September 05, 2008

Soal Jawab Puasa 5

Soalan:

Saya terdengar Ustaz menyebut tentang kelebihan solat malam yang dinamakan solat tahajjud. Apakah solat itu dan bagaimana cara melaksanakannya?

Jawapan:

Solat tahajjud dianjurkan selepas tidur pada waktu malam dan sebelum tiba waktu subuh. Ia boleh dilaksanakan sebanyak mungkin, dengan setiap dua rakaat satu salam. Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 19 yang bermaksud: “Pada sebahagian malam, bersolat tahajjudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan. Niat bagi solat ini adalah seperti: “Sahaja aku solat sunat tahajjud dua rakaat kerana Allah ta’ala.”

Tazkirah 4

KETAHANAN JIWA DALAM IBADAT PUASA

BERPUASA Ramadhan bukan sekadar berlapar atau dahaga, malah mempunyai rahsia dan nikmat lebih daripada itu. Dr. Yusuf Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada LIMA rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadat ini.

a. Menguatkan jiwa

Dalam hidup ini kita dapati ada manusia yang dikuasai oleh hawa nafsu. Manusia seperti ini menuruti apa yang menjadi keinginannya, meskipun ia sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.

Oleh itu dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya, bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu bersifat duniawi. Sekiranya dalam peperangan ini (melawan hawa nafsu) manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan berlaku. Ini kerana manusia yang kalah itu akan mengalihkan pengabadiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia ke arah kesesatan.

Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jaathiyah, ayat 23)

Dengan puasa manusia akan berjaya menguasai nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat. Dengannya manusia memperoleh darjat tinggi serta menjadikannya mampu mengetuk dan membuka pintu langit hingga segala doanya dimakbulkan oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang ertinya : “Ada tiga golongan orang yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

b. Mendidik keinginan ke arah kebaikan

Puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik.

Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa itu setengah daripada kesabaran sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Puasa itu sebagai benteng (daripada serangan keburukan).”

Dalam kaitan ini puasa akan menjadikan rohani seseorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani unggul ini akan membuatkan seseorang itu tidak akan lupa diri meskipun sudah mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi. Kekuatan rohani juga akan membuat seseorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.

c. Menyihatkan badan

Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah SAW malah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan.

d. Mengenal nilai kenikmatan dan bersyukur

Dalam hidup ini sebenarnya terlalu banyak kenikmatan diberikan oleh Allah kepada manusia, tetapi ramai yang tidak mensyukurinya. Dapat satu tidak terasa nikmatnya kerana menginginkan dua. Dapat dua tidak terasa nikmatnya kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya.

Dengan berpuasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi kenikmatan yang diperoleh malah diminta merenung nikmat Allah kepada kita. Di sinilah pentingnya puasa bagi mendidik seseorang untuk menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan kepadanya supaya kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan membuat nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

e. Mengingati dan merasakan penderitaan orang lain

Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam), sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir. Dari sini puasa akan melahir dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita.

Oleh kerana itu sebagai simbol dari rasa simpati itu, sebelum Ramadan berakhir kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah). Ini supaya dengan itu setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan umat yang menderita. Bahkan zakat tidak hanya bagi kepentingan orang miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah at Taubah, ayat 103).

MUTIARA HIKMAH HARI INI

EMPAT perkara yang hanya diketahui oleh EMPAT jenis orang akan nilainya iaitu:

1. Nilai masa muda hanya diketahui oleh orang tua

2. Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah ditimpa bencana

3. Nilai kesihatan hanya diketahui oleh orang sakit

4. Nilai kehidupan hanya diketahui oleh orang yang telah mati.

(Hatim Al-Asom)

Thursday, September 04, 2008

PEMBAZIRAN DALAM BULAN RAMADHAN

Masih terdapat dalam kalangan kita yang menyambut ketibaan Ramadhan dengan cara-cara yang bercanggah dengan falsafah ibadat puasa itu sendiri. Mereka seolah-olah menjadikan waktu berbuka puasa sebagai 'pesta makan'. Mereka sanggup berbelanja lebih berbanding dengan bulan-bulan yang lain semata-mata untuk memuaskan nafsu yang sememangnya tidak mengenal erti puas atau cukup.

Seperti biasa, setiap hari kita akan menyediakan hidangan untuk berbuka puasa, tetapi janganlah sampai berlebihan dan menimbulkan pembaziran pula. Namun begitu, terdapat ramai dalam kalangan umat Islam yang melakukan pembaziran ketika membuat persiapan berbuka. Beraneka sajian dan juadah memenuhi meja hidangan; daripada kuih muihnya, minumannya dan lauk pauknya demi untuk mengqada' lapar dan dahaganya bermula dari terbit fajar sadiq hingga terbenam matahari.

Mereka seolah-olah ingin makan sepuas-puasnya ketika berbuka nanti; untuk membalas dendam setelah menahan lapar dan dahaga di siang hari. Sebab itulah mereka sanggup berbelanja besar untuk menyajikan beraneka juadah berbuka puasa. Lebih mengaibkan lagi, makanan dan minuman yang disajikan itu akhirnya hanya dapat dijamah dan dicium baunya sahaja - bila tidak habis - ianya terpaksa dibuang. Bukankah ini merupakan suatu pembaziran yang amat dibenci oleh Allah?. "Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan dan orang yang membazir adalah saudara syaitan" - Maksud Al-Quran.

Menyediakan atau membeli makanan dan minuman yang beraneka rasa dan warna secara berlebihan untuk berbuka puasa sebenarnya merupakan suatu pembaziran. Bila tiba waktu berbuka, tidak semua juadah yang terhidang dapat dimakan atau dihabiskan. Selera untuk menjamah sajian tersebut pula akan 'mati' setelah perut kosong dipenuhi air minuman.

Malah setelah makan hanya beberapa suap; apa yang dilihat begitu menyelerekan sebelum berbuka puasa tiba-tiba menjadi sesuatu yang memuakkan lalu berlakulah pembaziran. Kuih muih, lauk pauk dan beraneka minuman tidak disentuh dan terus menjadi hiasan meja hinggalah ke tengah malam. Akhirnya disebabkan tiada siapa yang mahu memakannya; pada keesokan harinya juadah tersebut akan menjadi habuan kucing atau ayam atau dihumbankan sahaja ke dalam tong sampah.

Sebenarnya ibadat puasa mengajar kita supaya berjimat cermat. Siang hari kita tidak makan dan berbelanja; jadi apabila berbuka mengapa harus berbelanja besar?.Kadang-kadang perbelanjaan bulan puasa lebih besar daripada bulan-bulan lain.

Masalah pembaziran ini mungkin tidak disedari. Pembaziran yang dilakukan itu sebenarnya berpunca daripada kegagalan mengawal hawa nafsu dan selera. Ibadat puasa sebenarnya dapat menghalang kita dari melakukan sebarang bentuk kemungkaran. Pembaziran merupakan salah satu bentuk kemungkaran yang ditegah dalam Islam. Oleh itu, janganlah melakukan sesuatu yang ditegah ketika berpuasa. Kita tidak perlu menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman untuk berbuka puasa kerana pahala puasa bukannya dinilai dari juadah yang disajikan ketika berbuka puasa, tetapi berdasarkan amalan baik yang dilakukan sepanjang menjalani ibadat ini.

Renunglah nasib malang saudara-saudara kita yang terpaksa berlapar dan dahaga sepanjang tahun di negara-negara yang miskin atau yang dilanda peperangan.

Tazkirah 3

LIMA PERKARA ELOK DISEBUT

Ada 5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini. Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

a. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit; kita puji habis habisan, tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

b. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Amanah Saham Dunia (ASD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Amanah Saham Akhirat (ASA) yang tak pernah rugi dan merudum; malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

c. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

d. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riya' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (riya') tidak akan mencium bau syurga. Riya' adalah satu unsur dari syirik (khafi).

Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

e. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 jari lagi menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya.

Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya.

Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin.

Soal Jawab Puasa 4

Soalan:

Saya ingin mengerjakan solat witir berjemaah di masjid. Namun, saya berniat ingin bangun waktu malam. Bolehkan saya mengerjakan solat witir sekali lagi, sedangkan tidak ada dua witir pada satu malam seperti hadith Rasulullah S.A.W.?

Jawapan:

Solat witir boleh dilaksanakan dari 1 sehingga 11 rakaat. Ia dilaksanakan selepas solat tarawih di kebanyakan masjid untuk menutup tirai solat di waktu malam di dalam bulan Ramadhan. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu telah menunaikan solat witir sebanyak 3 rakaat selepas tarawih dan kemudian bangun di waktu malam menunaikan solat tahajjud, ia boleh menunaikan solat witir sebagai penambahan bagi 3 rakaat yang dilaksanakan selepas tarawih. Caranya adalah dengan hanya bersolat 2, 4, 6, atau 8 rakaat dengan niat “Sahaja aku dirikan 2 rakaat dari solat sunat witir kerana Allah ta’ala.” Dengan demikian, ia tidak dikira mendirikan 2 witir pada satu malam kerana Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak ada dua witir pada satu malam.”

MUTIARA HIKMAH HARI INI

Sesungguhnya amalan yang paling sulit ada EMPAT macam iaitu:

1. Memberi maaf pada waktu marah

2. Suka memberi pada waktu susah

3. Menjauhi yang haram pada waktu sunyi

4. Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau
kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.

(Saidina Ali bin Abi Talib)

Wednesday, September 03, 2008

Soal Jawab Puasa 3

Soalan:

Bagaimana saya boleh mengerjakan solat witir?

Jawapan:

Witir bermakna angka yang ganjil. Solat witir boleh dikerjakan pada tiap-tiap malam dan yang lebih afdhal adalah pada bulan Ramadhan, samada bersendirian atau berjemaah. Solat ini dikerjakan sekurang-kurangnya 1 rakaat dan boleh dikerjakan 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat dan sebanyak 11 rakaat.

Imam Abu Daud dan An-Nasa’i telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Ayyub yang maksudnya:“Rasulullah S.A.W. pernah bersabda” Solat witir itu adalah benar. Siapa yang suka mengerjakannya lima rakaat, kerjakanlah. Siapa yang suka mengerjakannya tiga rakaat kerjakanlah, dan siapa yang suka mengerjakannya satu rakaat sahaja pun, kerjakanlah. Niat witir dua rakaat di dalam jemaah adalah seperti: “Sahaja aku solat witir dua rakaat menjadi makmum kerana Allah ta’ala.” Niat witir satu rakaat pula di dalam jemaah adalah seperti: “Sahaja aku solat witir satu rakaat menjadi makmum kerana Allah ta’ala.”

MUTIARA HIKMAH HARI INI

"Ada EMPAT perkara yang berharga dalam diri manusia dan ia boleh hilang dengan EMPAT perkara juga. Adapun yang berharga itu ialah Akal, Agama, Malu dan Amal Soleh. Maka....

1. Akal boleh hilang disebabkan marah

2. Agama boleh hilang disebabkan dengki

3. Malu boleh hilang disebabkan tamak

4. Amal Soleh boleh hilang dan terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.

(Hadis Rasulullah S.A.W.)

Tuesday, September 02, 2008

PUASA MENJANA UMMAH BERKUALITI

Walaupun kita sering baca atau dengar tentang betapa ibadat puasa dapat menimbulkan sikap positif dalam diri seseorang yang melaksanakannya, namun setiap kali Ramadhan menjelma, kita dapat melihat sikap negatif sesetengah penganut Islam sendiri terhadap puasa.

Mereka menganggap bulan Ramadhan sebaga bulan tidur, bulan lesu, bulan panas baran dan bulan mengurangkan amal sama ada amal tenaga, amal fikiran mahupun amal kejiwaan. Sebab itulah tidak hairan jika kita melihat di mana-mana jua penganut Islam yang berpuasa menjadi terlalu manja dengan tidurnya sehingga mereka memanjangkan waktu tidur di siang hari. Terdapat juga mereka yang berpuasa tetapi menghabiskan masa dengan permainan yang melekakan dan melalaikan.

Bagi mereka tidur di siang hari dan permainan-permainan yang melekakan itu merupakan "pelarian" atau "pelepasan" daripada menanggung kepedihan dan keperitan menahan lapar dan dahaga sepanjang berpuasa.

Ada pula sesetengah penganut Islam yang menjadikan keletihan dan kelesuan berpuasa sebagai alasan mengapa mereka malas bekerja, belajar dan sebagainya.

Kesemua sikap negatif mereka terhadap ibadat puasa sebenarnya merupakan tanggapan keterlaluan dan silap sama sekali. Ibadat puasa tidak sekali-kali menjadikan seseorang itu pasif, beku, kaku, lesu dan buntu akan fikirannya; sebaliknya mampu menjana jiwa dan akal seseorang yang melaksanakannya supaya menjadi ummah yang berkualiti, bukannya ummah yang mundur dan terkebelakang.

Sesungguhnya ibadat puasa yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya selama sebulan ini mengandungi berbagai falsafah, rahsia dan hikmatnya yang tersendiri. Cuma kita sahaja yang tidak mengetahui dan menyedarinya.

Soal Jawab Puasa 2

Soalan:

Saya ingin menunaikan solat tarawih. Bagaimanakah caranya?

Jawapan:

Solat tarawih adalah sangat digalakkan pada malam-malam Ramadan. Ia adalah ibadat khusus di dalam bulan Ramadan, dan tidak dilakukan pada bulan-bulan lain. Masanya adalah setelah seseorang itu mengerjakan solat fardhu Isyak. Afdhal (utama) dikerjakan berjemaah di masjid. Namun, boleh juga dikerjakan bersendirian. Solat tarawih boleh dilaksanakan sebanyak 8 rakaat, 20 rakaat atau 36 rakaat, setiap 2 rakaat dengan satu salam. Cara menunaikannya adalah sama seperti solat sunat biasa (seperti sunat qabliyah (sebelum) atau ba’diyah (selepas) bagi solat fardhu lima waktu).

Menurut hadis Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah R.A. maksudnya: “Adalah Rasulullah S.A.W. sangat sukacita menganjurkannya supaya beramal di malam-malam bulan Ramadan, hanya Baginda itu tidak menganjurkannya dengan keras. Baginda S.A.W. bersabda: “Sesiapa yang menunaikan ibadat solat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah S.W.T., nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu.”

Tazkirah 2

JAUH DENGAN MANUSIA, DEKAT DENGAN ALLAH

Masa berlalu dengan cepat meninggalkan kita. 40 atau 50 tahun yang lalu kita seorang bayi yang tidak tahu apa-apa kecuali tangisan. 15 atau 20 tahun selepas itu kita serong remaja yang mempunyai ramai kenalan dan sahabat handai. Kemudian kita menjadi dewasa menempuh banyak pengalaman pahit manis. Dan akhirnya kita menjadi seorang tua yang sudah lemah anggota dan tidak setampan atau secantik dulu. Ketika itu orang ramai sudah menjauhkan diri dari kita, bahkan anak-anak kadangkala tidak suka bergaul atau melayan kita seperti biasa.

Inilah hakikat hidup yang dikatakan tipu daya. Tidak ada yang kekal. Paras yang handsome tak kekal lama, akhirnya berkedut. Gigi yang penuh dan putih berseri lama-kelamaan mula rapuh dan rongak, rambut hitam yang segar kini menjadi putih dan lesu, deria telinga yang tajam mula berkurangan. Begitu juga tubuh yang tampan dah mula lemah dan berpenyakit.

Ingatlah amaran Allah telah tiba - bahawa dunia akan meninggalkan kita dan kita sedang menuju alam lain iaitu alam kubur (barzakh) dan kemudian ke alam akhirat yang abadi. Di alam inilah kita akan hidup selama-lamanya. Kita akan tinggal di syurga atau neraka, bergantung kepada amalan semasa hidup di dunia.

Allah bersifat dengan al-Rahman (Pengasih kepada semua) dan al-Rahim (Penyayang khusus kepada orang mukmin). Semasa peringkat bayi, Allah tugaskan kepada ibu bapa untuk menjaga dan membesarkan kita. Mereka mengasuh dan mendidik serta mentarbiah dengan akhlak dan agama. Semasa remaja, kita beramal dengan ilmu yang kita perolehi melalui usaha mereka dan juga masyarakat keliling. Ketika dewasa, kita pula menjadi pembimbing kepada anak cucu serta orang-orang lain. Ibarat pokok asalnya benih disirami air, kemudian membesar mengeluarkan bunga dan akhirnya mengeluarkan buah untuk dimakan oleh manusia dan haiwan.

Tetapi apabila kita sudah tua dan tidak bermaya lagi, kita tidak begitu diperlukan. Kita mula disisih dari orang ramai. Pergerakan kita terhad. Minda kita mula merosot. Ingatan sudah tidak begitu kuat. Kesihatan kita makin terjejas. Apakah ini menjadi tanda bahawa Allah sudah tidak menyayangi kita lagi? Tidak sekali-kali! Malahan kesayangan Allah tetap sama. Apabila Allah renggangkan manusia daripada kita, itu bermakna Allah hendakkan kita mendampingi diriNya. Supaya hati kita bertambah tertambat dan lebih bertawakkal kepadaNya saja. Penyerahan diri hanya kepada Allah apabila manusia sudah mula renggang dari kita. Masa tua kita banyak menyendiri dan tidak disibukkan dengan pelbagai urusan dunia. Jadi amatlah sesuai untuk kita melipatgandakan amalan sambil bertafakkur, berzikir dan muhasabah diri tentang amalan yang kita buat selama ini. Kita punya masa yang banyak untuk koreksi diri dan bertaubat. Selagi nyawa belum sampai di khalqum (ghargharah), pintu taubat masih terbuka buat kita.

Amalan kita yang biasa kita lakukan semasa muda atau ketika sihat, walaupun sudah tidak mampu dilakukan lagi kerana sudah uzur, namun pahalanya tetap kita perolehi meskipun kita tidak lakukan. Contohnya semasa muda, sudah menjadi amalan atau budaya untuk bersolat jemaah atau menghadiri majlis ilmu di masjid. Tetapi apakan daya amalan itu tidak dapat dilakukan lagi semasa tua. Sungguhpun begitu pahala amalannya itu terus diperolehi walaupun kita tidak membuatnya.

Nabi Muhammad S.A.W. pernah berpesan supaya kita merebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Di antaranya ialah beramal ketika muda sebelum datang masa tua. Masa muda ialah masa yang amat baik untuk beramal kerana ketika itu badan dan jiwa kita masih kuat. Jadi apabila sudah tua, amal yang kita buat akan terus mengalir walaupun kita tidak membuatnya. Masa muda ibarat masa menanam dan tua ialah masa untuk kita tuai hasilnya.

Meskipun demikian kita seharusnya berdoa supaya tidak menjadi seorang tua yang tidak sedarkan diri. Semakin tua semakin menjadi. Umur sudah menjangkau 50 tapi masih merasakan seolah-olah masih remaja. Usia sudah tua tapi berperangai macam orang muda. Inilah yang kita takuti kerana hati kita mudah terbalik. Nabi pernah bersabda: sekiranya umur sudah mencapai 2/3 (40 tahun) tetapi amal kejahatan lebih banyak daripada kebajikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk menempah tempat di neraka. Kita juga seharusnya berdoa supaya umur kita tidak terlalu panjang sehingga menjadi nyanyuk dan kembali seperti perangai bayi yang tidak dapat membezakan sesuatu.

"Ya Allah, kami memohon kepadaMu supaya hidupkan kami sekiranya ia baik bagi kami. Dan Engkau matikanlah kami sekiranya ia baik bagi kami. Janganlah Engkau tarik hidayah yang telah Engkau berikan kepada kami. Ampunilah kami di atas kelemahan kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul-khatimah dan janganlah Engkau akhiri hidup kami dengan suul-khatimah. Akhirkanlah lisan kami dengan kalimah Lailahaillah, semoga Engkau masukkan kami di dalam golongan Abrar. Sepeninggalan kami kelak, ya Allah Engkau jadikanlah anak cucu kami sebagai pewaris Nabi yang menegakkan kalimah dan agamaMu di saat manusia telah banyak melupakanMu. Akhirnya Ya Allah, berkatilah saki baki umur kami yang tinggal sedikit ini untuk berbakti kepadaMu dan Engkau redhailah kami menjadi hambaMu. Amin ya Rabbal Alamin.

MUTIARA HIKMAH HARI INI

Perbaikilah TIGA perkara dengan TIGA perkara agar kamu termasuk dalam kalangan orang yang beriman: sombong dengan tawadhuk, hasut dengan nasihat, bakhil dengan qana’ah.

(Malik bin Dinar)

Monday, September 01, 2008

Tazkirah 1

INGAT MENGINGATI BUDAYA KITA

Dalam surah Al-Asr, Allah yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim memperingatkan kita tentang perlunya kita memenuhkan jiwa kita dengan iman, dan kemudian diikuti dengan amal soleh. Iman dan amal soleh adalah gandingan sifat yang berdaya maju untuk memberi motivasi dan sekaligus mengubah diri kita menjadi manusia berakhlak mulia.
Sekadar memperbaiki diri sendiri belum mencukupi. Kita mempunyai misi seterusnya iaitu menunaikan tanggungjawab kepada anak-anak, isteri, keluarga, jiran dan manusia keseluruhannya.

Dalam surah Al-Asr, Allah seterusnya mengingatkan kita supaya memberikan nasihat dan ingat mengingati sesama muslim dan juga non-muslim. Sebagaimana misi para Rasul dan Nabi untuk menyelamatkan umat, kita juga perlu menanamkan tekad yang sama sebab mereka adalah contoh teladan yang terbaik untuk kita ikuti.

Dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada yang mungkar, pastinya kita akan menerima cemuhan dan tentangan, kerana untuk mendapatkan yang baik, lumrahnya akan menempuh kesusahan dan keperitan terlebih dahulu. Nabi Muhammad S.A.W. sendiri pernah dicerca, dihina, dipukul, dihalau dan menanggung kesusahan dan kelaparan untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan; sedangkan Baginda adalah manusia termulia dan maksum. Betapalah pula dengan diri kita yang bergelumang dengan noda dan dosa.

Ini adalah lumrah perjuangan. Tidak dinamakan perjuangan dan jihad sekiranya tidak dicuba terlebih dulu dengan kepayahan. Dalam al-Quran selalu dinyatakan 'di dalam kepayahan ada kebaikan'. Oleh itu setiap diri kita perlu menanggung sabar semasa melakukan usaha nasihat menasihati ini. Tugas dakwah ini bukan tugas tok guru dan ustaz sahaja. Dalam zaman yang penuh dengan kegelapan di mana manusia sudah ramai yang lari dari Allah, tugas ini menjadi tanggungjawab setiap individu.

Para rasul tidak kenal penat dalam menjalankan usaha dakwah. Mereka tidak berputus asa walau pun usaha mereka tidak berjaya, sebab yang memberikan taufiq dan hidayah ialah Allah S.W.T. Kita berusaha tapi Allah jua yang memberikan petunjuk. Nabi Noh A.S. meskipun beratus-ratus tahun berdakwah kepada umatnya, namun yang mengikutnya segelintir saja. Bukan makin lama makin bertambah, bahkan ada pula yang lari meninggalkan nabi Noh. Lantas nabi Noh membuat bahtera untuk menyelamatkan para pengikutnya dari ancaman Allah. Yang naik bahteranya adalah sebahagian kecil pengikutnya dan juga haiwan peliharaan mereka. Anak dan isterinya sendiri tidak berjaya diselamatkan. Di sinilah letaknya nilai kesabaran yang amat perlu dalam meneruskan perjuangan.

1. Untuk itu saya ingin mengingati diri saya dan juga sdra/i, supaya kekal menunaikan ibadat solat 5 kali sehari semalam. Solat ialah anak kunci syurga dan juga amalan yang mula-mula sekali ditanya dan diperiksa pada hari kiamat. Ia sebagai tiang agama. Apabila sdra/i mengerjakannya bererti anda telah mendirikan agama. Sebaliknya jika ditinggalkan bermakna anda merobohkan agama. Sebaik-baiknya solat secara berjemaah di masjid atau surau.

2. Al-Quran adalah kitab yang paling mulia. Ia merupakan mukjizat nabi Muhammad S.A.W. Baginda meninggalkan dua perkara yang mana jika berpegang dengan kedua-duanya kita tidak akan sesat selama-lamanya; iaitu al-Quran dan al-Hadith. Oleh sebab itu, usahlah dijadikan al-Quran sebagai kitab buruk yang diletak di atas almari tanpa dibaca dan dihayati. Lazimkanlah membaca al-Quran di rumah anda. Kalau dapat khatamkan sebulan sekali; atau kalau tidak mampu, memadailah sehari sehelai. Ramai antara kita yang boleh membaca akhbar harian berjam-jam, malah ada yang diulang bacaannya. Tetapi mengapa minat membaca ini tidak dijuruskan pada al-Quran sedangkan ia menjadi pelita dan perisai di dalam kubur kita.

3. Untuk menjaga hubungan baik dan silaturrahim sesama Islam, Nabi menyarankan agar kita sebarkan ucapan 'Assalamu Alaikum' (sejahtera atas kamu). Ini adalah ucapan ahli syurga. Malangnya ada yang beranggapan ucapan salam ini kolot dan tidak diplomatik. Mereka lebih suka mengucapkan 'selamat pagi/petang' atau 'selamat sejahtera'. Ucapan begini walaupun nampak sama maknanya tapi tidak membawa sebarang pahala. Ucapan Assalamu alaikum adalah doa untuk keselamatan sesama Islam. Dengan ucapan itu, kita sudah menyambung silaturrahim.

4. Keberkatan adalah segalanya. Amatlah beruntung jika kita mempunyai umur dan harta yang berkat. Menggunakan usia dan harta di jalan Allah dikira usaha yang diberkati dan Allah membalasnya dengan berlipat ganda. Untuk memperolehi keberkatan dalam segala amalan dan tindakan kita, biasakanlah membaca 'Bismillahir rahmanir rahim' apabila memulakan sesuatu.

5. Lidah adalah punca segala maksiat. Ia adalah ibarat pedang, jika disalahgunakan akan membunuh diri sendiri. Orang tua pernah berkata 'sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa'. Di antara bahaya lidah ialah apabila digunakan untuk mengumpat, menghina, mengejek, memfitnah, mengutuk, memaki, membohong dan sebagainya. Oleh itu sebelum mengeluarkan perkataan hendaklah berfikir terlebih dulu. Gunakan otak sebelum berkata-kata. Jika tidak perlu, lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang sia-sia.

6. Semua yang ada di muka bumi ini adalah makhluk Allah. Kita juga adalah makhluk Allah sama seperti mereka. Oleh itu berbuat baiklah sesama makhluk Allah walaupun mereka bukan jenis manusia. Allah akan melimpahkan rahmat dan kasih sayang kepada mereka yang menyayangi sesama mereka. Barangsiapa menyayangi makhluk di bumi, nescaya disayangi oleh makhluk di langit (Malaikat).

7. Allah memberi nikmat yang banyak kepada kita. Nikmat teragung ialah nikmat iman dan Islam. Sebaik yang menerima nikmat ialah mensyukuri Allah yang mengurniakannya. Bersyukur atas nikmat ialah menggunakan nikmat itu untuk mencari keredhaanNya. Menyalahgunakan nikmat untuk melanggar perintah Allah adalah mengkufuri nikmat.

8. Anak-anak dan isteri adalah petaruhan Allah. Allah akan menanya atas didikan yang kita berikan. Oleh itu berikanlah didikan agama Islam yang sempurna. Penekanan yang begitu serius kepada akademik dan keduniaan menyebabkan anak-anak semakin jauh dari agama Islam. Akhir zaman ini, manusia terlalu asyik mengejar keduniaan dan kebendaan sehingga ramai anak muda jahil dalam perkara agama. Tidak hairanlah ada di antara mereka yang menjual agama kerana material yang sedikit. Oleh sebab tidak adanya perasaan sayang terhadap agama Islam, maka ramai di antara mereka yang menghina ulama dan Islam, malahan menjadi murtad dengan menganut agama yang kononnya menjanjikan kemewahan dan kebahagiaan. Di manakah maruah individu Islam apabila membiarkan di depan mata, anak muda kita dimurtadkan oleh kafir laknatullah?

9. Bantulah Allah dengan mengembalikan kedaulatan Islam dan maruahnya. Kelak Allah akan membantu anda. Didiklah anak-anak muda dengan menyerapkan iman di dada mereka. Mereka bakal menggantikan kita suatu masa nanti. Amalan kita terputus apabila kita mati kecuali doa dan amalan anak kita yang soleh.

10. Ajarkanlah anak-anak dengan al-Quran. Ramai anak-anak kita dewasa ini celik IT dan celik korporat tapi sayang sekali buta al-Quran. Mereka tidak pandai membaca al-Quran, tidak tahu rukun Islam, rukum iman dan perkara-perkara yang berkaitan dengan fardhu 'ain. Siapa yang perlu dipersalahkan, tidak lain dosa tertanggung ke atas bahu ibu bapa kerana anak-anak dilahir ikut fitrah; ibu bapa bertanggungjawab sama ada meyahudi atau mengkristiankannya. Berjaga-jagalah sebelum nasi menjadi bubur.

11. Dalam mengerjakan ibadat, lakukanlah dengan ikhlas bukan seperti melepaskan batuk di tangga atau melakukan secara berpura-pura. Pelajarilah ilmu tasawuf supaya kita dapat ketahui perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala ibadat yang kita lakukan.

12. Di samping mencari kemewahan di dunia, jangan lupa bekalan kita untuk dibawa ke akhirat. Begitu juga jangan lupa tanggungjawab terhadap agama dan bangsa. Mainkan peranan supaya negara yang kita cintai ini ditadbir oleh mereka yang berjiwa Islam; dan bukan mereka yang mengutamakan kepentingan peribadi dan kroni atau mereka yang bersifat zalim.

13. Bertaubatlah sebelum pintu taubat ditutup dan bersedekahlah semasa ada fakir miskin yang mahu menerimanya. Kita semua banyak melakukan dosa dan tidak terlepas dari melakukan maksiat sama ada kecil atau besar. Sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang bertaubat. Sedangkan nabi Muhammad yang maksum tanpa berdosa pun beristighfar dan bertaubat kepada Allah, betapa hal dengan diri kita yang bergelumang dengan dosa. Bangunlah di tengah malam dan bertaubat sambil menangis kerana ketelanjuran berbuat dosa.

14. Kepada orang-orang tua terutama kedua ibu bapa, hendaklah kita hormati dan kasihi. Begitu juga kasihilah anak-anak yatim, fakir miskin dan orang-orang tua. Hulurkanlah apa-apa bantuan, kalau tidak mampu, sukakanlah hati mereka dengan kata-kata yang menyukakan mereka. Nabi Muhammad amat menyukai anak-anak yatim. Oleh itu carilah peluang untuk berjumpa dengan anak-anak yatim sambil menyapu kepala mereka.

Saya memohon doa agar saya dan sdra/i semua diberikan Allah kekuatan dan semangat untuk melakukan segala amalan di atas dengan istiqamah dan ikhlas. Semoga kita dimasukkan ke dalam kumpulan Abrar dan diterima Allah sebagai kebajikan yang berterusan. Amin.

Soal Jawab Puasa 1

Soalan:

Apakah cara terbaik untuk saya menghayati bulan Ramadhan dan menambah amalan di dalamnya?

Jawapan:

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:“Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... di mana bulan ini diwajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sunat bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran, dan kesabaran itu balasannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan di mana rezeki orang beriman bertambah...”(Riwayat Ibn Khuzaymah).

Bulan Ramadhan penuh dengan rahmat Allah S.W.T.
Bulan Ramadhan penuh dengan pengampunan Allah S.W.T.
Bulan Ramadhan diturunkan padanya Kitab Suci Al-Quran.
Bulan Ramadhan terdapat di dalamnya malam Lailatul Qadr.

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa (di dalam bulan Ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu termasuk dalam golongan orang bertakwa.”

Di dalam bulan Ramadhan ini, marilah kita bersama;
• Menjaga ibadat puasa dari terbatal dan menyempurnakan puasa sebaik mungkin untuk mengukuhkan keimanan
• Membanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di dalamnya, agar ilmu dapat dipertingkatkan
• Memakmurkan masjid dan beriktikaf di dalamnya terutama pada sepuluh malam terakhir Ramadhan
• Melahirkan keihsanan dengan membanyakkan bersedekah dan beramal bakti
• Bersikap sederhana tatkala berbuka dan mengelakkan pembaziran dalam penyediaan makanan

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "Bulan Ramadhan diturunkan padanya Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil)".

Sesuai dengan bulan Al-Qur’an ini, maka penghayatannya melibatkan tiga cara:
1. Berusaha membanyakkan amal baik dengan tujuan mengukuhkan keimanan dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.
2. Mempertingkatkan ilmu, melalui pembacaan dan pengkajian Al-Quran, serta mempelajari sejarah Baginda Rasulullah S.A.W.
3. Menghayati nilai murni yang ditunjukkan dalam Al-Qur’an, terutama dari sudut akhlak.Tingkah laku kita sebagai orang yang beriman harus mencerminkan akhlak mulia yang diajar dalam kitab tersebut.

Penghayatan bulan Ramadhan dan Al-Qur’an tidak terbatas dalam lingkungan solat dan puasa secara ritual sahaja. Malah, lebih dari itu, kita mesti menghayatinya dalam setiap aspek kehidupan seharian dan melahirkannya dalam tingkah laku, pertuturan dan gerak hati kita. Wallahu a'lam.

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Sebagaimana kelebihan hari JUMAAT berbanding dengan hari-hari lain, bulan RAMADHAN juga mempunyai kelebihan dan keistimewaannya di sisi Allah SWT jika dibandingkan dengan sebelas bulan yang lain. Di antara keutamaan dan kelebihan bulan RAMADHAN ialah:
1. Bulan diturunkan al-Qur'an
2. Bulan yang terdapat dalamnya "Lailatul Qadr"
3. Penghulu segala bulan
4. Bulan ibadah dan dilipatgandakan pahala
5. Pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup serta iblis dan syaitan dibelenggu.

MUTIARA HIKMAH HARI INI

Kebinasaan orang yang sebelum kamu dengan sebab TIGA perkara iaitu banyak bercakap, banyak makan dan banyak tidur.

(Ibrahim An-Nakhaie)

Sunday, August 31, 2008

RAMADHAN DATANG LAGI

Ramadhan tiba lagi. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan. Bagi orang yang beriman, sesungguhnya kedatangan Ramadhan memang dinanti-nantikan kerana kemuliaan dan kelebihannya.Tidak kurang juga yang mulai merasa resah gelisah dan mengeluh dengan kedatangannya sambil tertanya-tanya dalam kebingungan mengapa Ramadhan datang terlalu cepat.

Walau apapun perasaan dan sikap mereka terhadap Ramadhan ini, namun ia tetap menjenguk dan menyapa kita. Terpulanglah kepada kita untuk merebut keberkatan dan kelebihan yang ada padanya. Tepuk dada tanya iman.

Apa yang pasti ialah Ramadhan menjanjikan sesuatu yang sungguh agong dan bermakna khususnya kepada orang yang beriman dan sentiasa sabar melayaninya. Peluang yang datang bukan selalu ini janganlah ianya dipersia-siakan begitu sahaja.

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat. Sama-samalah kita mengisinya dengan melipatgandakan amalan yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

SELAMAT MENJALANI IBADAT PUASA ...

MUTIARA HIKMAH HARI INI

Jangan kamu menceritakan hal kamu kepada orang yang suka menceritakan hal orang lain kepada kamu.

Orang normal boleh hidup bersama masalah. Orang tidak normal tidak boleh hidup bersama masalah.

blogger templates | Make Money Online