Kemerdekaan adalah salah satu kurniaan Allah SWT yang sangat berharga bagi negara dan rakyat Malaysia setelah ratusan tahun berada di bawah pengaruh dan peradaban penjajah. Sebagai anak bangsa yang mensyukuri nikmat kemerdekaan kita tentu berharap agar negara tercinta ini selalu berada dalam rahmat Allah SWT.
Allah SWT menuntut agar setiap bangsa mempunyai negara yang aman, damai dan tenteram. Allah SWT berfirman yang bermaksud: ...(Negerimu) adalah negeri yang baik (nyaman) sedang (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun. (Q.S Saba' [34]: 15)
Sebagai seorang Islam, nikmat kemerdekaan perlu disyukuri kerana Islam tidak hanya memperhatikan urusan yang berkaitan dengan Tuhannya saja. Prof Gibb (orientalis) penulis buku "Weather Islam" menyatakan: "Islam is indeed much more then system of theology it's a complete civilization (Islam benar-benar agama yang amat sempurna yang tidak hanya mengatur hubungan dengan penciptanya, tetapi Islam mengatur peradaban manusia yang sangat sempurna).
Setiap masyarakat di dunia mengimpikan sebuah negara yang baik, tenteram dan aman. Islam sebagai agama universal juga mengatur masalah hubungan antara sesama manusia dalam soal bermasyarakat dan bernegara, yang di dalam Al-Qur'an sebagai tuntutan utama disamping As-Sunnah diberikan ilustrasi tentang negara yang diimpikan oleh setiap umat yang antara lainnya;
Pemimpin dan para petingginya bersikap arif
Birokrasi dilaksanakan secara profesional
Kekayaan negara dapat dirasakan oleh rakyatnya.
Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Kalaulah Allah menghendaki suatu negara itu baik (aman, damai, tenteram), maka negara itu dipimpin oleh penguasa yang arif bijaksana, birokrasi dilaksanakan oleh para ahli, dan kekayaan ditangan konglomerat yang mempunyai keperluan sosial yang tinggi, tetapi kalau Allah menghendaki negara itu rosak maka negara itu dipimpin oleh penguasa yang jahat, birokrasi dilaksanakan oleh aparat yang bodoh dan tidak profesional serta kekayaan ditangan konglomerat yang rakus dan bakhil. (H.R Ad-Dailami)
- Pemimpinnya mencintai dan dicintai oleh rakyat
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Para pemimpin yang baik ialah yang kalian cintai, merekapun mencintai kalian, yang mereka doakan, merekapun mendoakan kalian. Adapun pemimpin yang jelek ialah yang kalian benci, merekapun membenci kalian, yang kalian laknat, merekapun melaknat kalian. (H.R Muslim)
Sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka tentunya kita menginginkan keberkatan hidup di bumi tercinta ini. Untuk itu Allah SWT di dalam Al-Qur'an memberikan beberapa tuntutan kepada kita iaitu:
- Beriman dengan sebenar-benarnya dan bertaqwa kepada Allah
Firman Allah SWT di dalam surah Al-A'raf 96 yang bermaksud: “Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami siksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan”.
- Melaksanakan keadilan
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha teliti apa yang kamu kerjakan”. Q.S Al-Maidah [5]: 8
- Menjalankan amanah
Setiap pemimpin diserahi tanggung jawab oleh bangsa dan rakyatnya, amanah tersebut akan dipertanggung jawabkan kelak di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya”. (H.R Bukhari dan Muslim)
- Memelihara persaudaraan
Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat [49]:10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat”.
- Saling bantu membantu untuk kebaikan
.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “... Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah sangat berat siksa-Nya”. Q.S Al-Maidah [5]:2
- Menghindari dan menjauhi perbuatan anarkis dan merosak
Perbuatan anarkis akan merosak dan menghilangkan peradaban sesama manusia keana seringkali perilaku anarkis tidak lagi dapat dikendalikan oleh akal yang sihat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “.... Dan janganlah kamu merugikan orang lain sedikitpun. Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu orang beriman”. Q.S Al-A'raf [7]:85
Sesuatu umat akan memiliki keunggulan apabila tetap berpegang kepada tuntutan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai pedoman hidup sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran[3] ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan berimanlah kepada Allah”.
Allah SWT akan meneguhkan hati setiap hamba-Nya yang dengan teguh dan ikhlas membela dan menegakkan agama Allah yang diaplikasikan dengan mencintai dan membela tanahair sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu. Q.S Muhammad[47]:7
Jelaslah bahawa nikmat kemerdekaan akan terus dapat dirasakan oleh setiap anak bangsa berkat limpahan kurnia serta rahmat Allah SWT apabila kita selalu mensyukuri serta dengan sepenuh hati mengisi kemerdekaan tersebut dengan cara yang diredhai Allah SWT baik secara individu apalagi dalam kehidupan bermasyarakat. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat”. (Q.S Ibrahim[14]:7)
Ya… Rabb, jadikanlah negeri kami negeri yang aman, penduduknya penuh limpahan rahmat-Mu dan sentiasa bersyukur kepada-Mu. Amin…
Saturday, August 30, 2008
NIKMAT KEMERDEKAAN
Posted by muslim kelana at 8:45 PM 0 comments
Labels: Kemerdekaan
KEMERDEKAAN PERLU DIPERTAHANKAN
Syukur alhamdulillah, kita insya Allah akan menyambut dan merayakan bersama hari ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-51 pada 31 Ogos ini. Namun, dalam merayakan hari yang amat bersejarah dan bermakna itu, kita hendaklah menyedari bahawa sesungguhnya kemerdekaan, keamanan, kemajuan dan keselesaan hidup yang kita kecapi hari ini merupakan di antara sekian banyak nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada rakyat dan negara Malaysia yang tidak ternilai harganya. Nikmat ini wajib disyukuri oleh setiap lapisan masyarakat dengan menyedari dan mengingati bahawa:
1. Kemerdekaan negara tidak akan tercapai tanpa pertolongan dan inayah Allah SWT;
2. Kemerdekaan yang dicapai harus dihiasi dengan tanggungjawab dan disiplin terhadap agama, bangsa dan negara;
3. Nikmat kemerdekaan hendaklah sentiasa dihargai dan disyukuri dengan mengisinya dengan usaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kedudukan sosio-ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara serta memperteguh akidah,
memperkukuh perpaduan, memurnikan akhlak dan membanteras gejala sosial; dan
4. Pastikan diri tidak tergolong dalam kalangan orang yang membuat pertimbangan yang salah mengenai kemerdekaan kerana kemerdekaan sebenar tidak terletak pada zahirnya sahaja, tetapi merdeka pada jiwa dan raga kita.
Sesungguhnya kemerdekaan yang kita kecapi memberi jaminan dan perlindungan terhadap lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka sudah sewajarnyalah nikmat kemerdekaan ini kita hargai dan syukuri agar ia kekal selama-lamanya seterusnya membolehkan kita beroleh lebih banyak nikmat, sebagaimana telah dijanjikan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.” (S. Ibrahim: 7).
Kita menyambut hari kemerdekaan tahun ini di tengah-tengah kebimbangan semangat patriotisme yang kian luntur di samping kebimbangan terhadap isu murtad yang sedang melanda masyarakat Islam di negara ini. Kebimbangan ini adalah ekoran daripada sikap segelintir generasi muda pasca merdeka yang kurang menghayati nilai dan makna kemerdekaan beserta sikap mereka yang mudah terpengaruh dan menerima budaya asing tanpa memikirkan kesannya terhadap akidah, moral dan sosial. Sikap negatif seumpamanya memang amat dikesali kerana ia boleh menyebabkan rakyat dan negara ini kembali dijajah, iaitu dijajah dari segi rohani dan minda sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Justeru itu, bersempena dengan hari ulang tahun kemerdekan kita tahun ini, marilah kita menyambut dan merayakannya dengan penuh semangat serta penuh keinsafan bahawa kemerdekaan negara adalah hasil perjuangan dan pengorbanan para pejuang dan pahlawan tanah air yang ingin mendaulatkan agama dan bangsa.
Untuk ini, marilah kita sama-sama mengembeling tenaga dan bertekad untuk memelihara dan mempertahankan keamanan dan keharmonian hidup berbilang kaum yang kita kecapi ini dari pelbagai ancaman yang menggugat aqidah Islam, menggugat perpaduan rakyat, menggugat keselamatan negara, tanpa mengira sama ada dari dalam mahupun dari luar negara. Tanpa kesetiaan rakyat melaksanakan kewajipan ini, dikhuatiri kemerdekaan yang kita kecapi selama ini akan ditarik semula oleh Allah s.w.t.
Kemerdekaan ini mesti dipertahan serta diwarisi dengan jiwa dan minda merdeka. Maknanya, merdeka harus dihayati, dipelajari dan dirayakan secara positif bagi menyedarkan serta menginsafkan kita untuk mensyukuri dan memeliharanya dalam mengharungi cabaran-cabaran pada masa hadapan. Ini perlu kerana kemerdekaan dalam perspektif Islam adalah kemerdekaan insan dan negara seutuhnya berpaksikan Tauhid dan menuju ke arah matlamat keredhaan Allah S.W.T.
Allah S.W.T berupaya mengubah nikmat kepada bala, tetapi Allah dengan hikmah-Nya menuntut agar manusia memanfaatkan fungsi dan tugas sebagai khalifah yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya, agar segala perintah dan ajaran terlaksana dengan usaha manusia menurut batas kemampuan yang dimiliki. Maka dalam rangka mempertahankan kemerdekaan bagi memperjuangkan agama Islam serta membela nasib rakyat, perlu ada kebijaksanaan, kesungguhan dan komitmen yang berkesinambungan justeru setiap perjuangan suci itu tidak akan sunyi daripada cabaran dan dugaan.
Dalam erti kata lain, kita mesti berjihad dengan upaya yang dimiliki, melawan kelemahan dan kemalasan serta berjihad menentang dorongan hawa nafsu yang cenderung ke arah kebatilan. Sesiapa yang berusaha memenuhi tuntutan agama dan membela nasib rakyat dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, pasti akan dibimbing oleh Allah mencapai matlamat itu seperti mana firman-Nya di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (S. Al-Ankabut: 69).
Oleh hal yang demikian, apabila usaha memelihara kesucian agama dan mempertahankan kemerdekaan dapat dipraktikkan bersesuaian dengan kaedah, kondisi dan situasi yang diharuskan oleh Islam dengan penuh kesungguhan dan ketaatan, maka kejayaan dan kemenangan yang diidamkan itu pasti akan muncul. Inilah inti hakikat yang harus dihayati dan difahami oleh setiap umat Islam agar segala peraturan dan perintah Allah diamalkan secara menyeluruh dengan batas kemampuan yang dimiliki.
Maknanya, hanya dengan memanifestasikan ajaran Islam itu secara total di dalam kehidupan yang akan memungkinkan agama Islam dan umatnya kembali gemilang seterusnya meletakkan negara ke mercu kecemerlangan.
Golongan muda-mudi perlu sedar bahawa harga sebuah kemerdekaan itu tidak boleh dibayar oleh wang ringgit. Harga kemerdekaan itu juga tidak boleh dibayar apabila hanya satu pihak sahaja yang mewah tetapi pihak lain hidup melarat. Namun harga kemerdekaan negara boleh dibayar melalui kesedaran menuntut ilmu dan beramal dengannya.
Dengan kata lain, semua pihak terutama sekali keluarga, institusi pendidikan, kerajaan dan lain-lain lagi mestilah menitikberatkan soal bidang pendidikan pada setiap peringkat. Ini kerana melalui pendidikanlah segala ilmu pengetahuan, maklumat dan kemahiran dapat disalurkan yang meliputi pengetahuan agama dan ketatanegaraan. Cumanya sekarang, generasi muda perlu sedar dan diperingatkan bahawa pelajaran adalah melebihi segala-galanya.
Jika generasi hari ini dan yang akan datang ingin terus menikmati serta mewarisi kebebasan mengamalkan ajaran agama, keamanan, kemajuan dan kemakmuran
hidup, maka jalan kea arah itu ialah dengan memelihara dan memperahankan kemerdekaan yang dikecapi. Ini kerana kemerdekaan dari belenggu penjajah dan merdeka dari pengaruh ajaran sesat serta budaya kuning akan membolehkan kita melaksanakan kewajipan terhadap Allah dan kewajipan terhadap sesama manusia dalam keadaan dan suasana yang tenteram dan selesa. Ingatlah firman Allah yang bermaksud:
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (S. Al-A’raaf: 96).
Posted by muslim kelana at 8:36 PM 0 comments
Labels: Kemerdekaan
Friday, August 29, 2008
SALAM KEMERDEKAAN BUAT SEMUA
Assalamualaikum wrt.wbt.,
Dalam kesempatan ini saya ingin menghulurkan salam kemerdekaan buat semua warganegara Malaysia walau di mana anda berada. Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia Ke 51 dengan tema PERPADUAN TERAS KEJAYAAN. Semoga kita menjadi warganegara yang benar-benar menghayati erti kemerdekaan, berusaha mempertahankannya dan mengisi kemerdekaan dengan sesuatu yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Sebagai mengenang dan memperingati detik-detik penting lagi bersejarah buat negara dan rakyat Malaysia seluruhnya, marilah kita mengimbau kembali detik tersebut dengan rasa kesedaran dan keinsafan betapa berharga dan berertinya nikmat kemerdekaan yang sedang kita kecapi .
MENJELANG DETIK-DETIK KEMERDEKAAN
Posted by muslim kelana at 3:37 PM 1 comments
Labels: Kemerdekaan
ERTI KEMERDEKAAN BAGI SEORANG MUSLIM
31 Ogos 1957 merupakan tarikh yang amat bersejarah kepada warga Tanah Melayu. Pada tarikh tersebut Tanah Melayu secara rasmi diisytiharkan merdeka daripada penjajahan British selepas satu abad lebih terjajah. Alhamdulillah, syukur kepada yang Maha Esa kerana mengekalkan nikmat kemerdekaan negara sehingga ke saat ini.
Namun, bagi rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam seharusnya tidak terlalu selesa dengan suasana ini. Kita harus sentiasa bertanya, adakah kita telah merdeka dalam ertikata yang sebenarnya. Dalam kata-kata yang lain, adakah kita benar-benar telah mencapai kemerdekaan yang hakiki. Adakah kita telah merdekakan tanah air, jiwa, pemikiran, budaya dan tingkah laku dari penjajahan ideologi yang rosak? Atau adakah tanahair kita sahaja yang telah ditinggalkan oleh penjajah Inggeris, namun pemikiran dan ideologi mereka masih diwarisi oleh kita?
Sebenarnya, penjajahan turut berlaku pada gaya serta cara berfikir, akhlak, tingkah laku dan budaya seseorang warganegara itu. Dalam hal ini, Abu A`la al-Maududi, seorang pemikir dan ilmuwan Islam yang terkemuka di bumi India tatkala India mendapat kemerdekaan dan berlaku perpecahan negara kepada India dan Pakistan. Beliau menyatakan: “Telah pergi orang Inggeris yang berkulit merah namun masih kekal Inggeris berkulit sawo matang”.
Oleh kerana itu, umat Islam perlulah mengisi kemerdekaan ini dengan menghapuskan saki baki tinggalan penjajah dalam setiap aspek kehidupan mereka. Inilah mesej kemerdekaan yang dibawa oleh pejuang-pejuang Islam pada awal Islam ketika mereka berusaha membebaskan bangsa dan kaum yang lemah daripada cengkaman penjajahan Rom dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar dunia ketika itu. Ini dapat dilihat menerusi ungkapan Rub’ii bin Amir seorang pejuang Islam di hadapan Rustum panglima perang Rom:
“Allah mengutuskan kami untuk kami mengeluarkan manusia daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Tuhan Pencipta manusia, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di akhirat.”
Justeru, marilah kita memahami erti kemerdekaan secara yang lebih holistik dan matang. Merdekakan jiwa dan minda kita dari melanggar arahan Allah SWT. Merdekakan masyarakat kita dari perpecahan dan permusuhan. Sabda Nabi SAW:
Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda. Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda: ”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. “ (Hadis riwayat Bukhari)
Semoga dengan memahami erti sebenar kemerdekaan akan menambahkan keberkatan kepada kehidupan kita di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”(al-A’raaf: 96)
Posted by muslim kelana at 2:24 PM 0 comments
Labels: Kemerdekaan

