Syukur alhamdulillah, kita insya Allah akan menyambut dan merayakan bersama hari ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-51 pada 31 Ogos ini. Namun, dalam merayakan hari yang amat bersejarah dan bermakna itu, kita hendaklah menyedari bahawa sesungguhnya kemerdekaan, keamanan, kemajuan dan keselesaan hidup yang kita kecapi hari ini merupakan di antara sekian banyak nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada rakyat dan negara Malaysia yang tidak ternilai harganya. Nikmat ini wajib disyukuri oleh setiap lapisan masyarakat dengan menyedari dan mengingati bahawa:
1. Kemerdekaan negara tidak akan tercapai tanpa pertolongan dan inayah Allah SWT;
2. Kemerdekaan yang dicapai harus dihiasi dengan tanggungjawab dan disiplin terhadap agama, bangsa dan negara;
3. Nikmat kemerdekaan hendaklah sentiasa dihargai dan disyukuri dengan mengisinya dengan usaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kedudukan sosio-ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara serta memperteguh akidah,
memperkukuh perpaduan, memurnikan akhlak dan membanteras gejala sosial; dan
4. Pastikan diri tidak tergolong dalam kalangan orang yang membuat pertimbangan yang salah mengenai kemerdekaan kerana kemerdekaan sebenar tidak terletak pada zahirnya sahaja, tetapi merdeka pada jiwa dan raga kita.
Sesungguhnya kemerdekaan yang kita kecapi memberi jaminan dan perlindungan terhadap lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka sudah sewajarnyalah nikmat kemerdekaan ini kita hargai dan syukuri agar ia kekal selama-lamanya seterusnya membolehkan kita beroleh lebih banyak nikmat, sebagaimana telah dijanjikan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.” (S. Ibrahim: 7).
Kita menyambut hari kemerdekaan tahun ini di tengah-tengah kebimbangan semangat patriotisme yang kian luntur di samping kebimbangan terhadap isu murtad yang sedang melanda masyarakat Islam di negara ini. Kebimbangan ini adalah ekoran daripada sikap segelintir generasi muda pasca merdeka yang kurang menghayati nilai dan makna kemerdekaan beserta sikap mereka yang mudah terpengaruh dan menerima budaya asing tanpa memikirkan kesannya terhadap akidah, moral dan sosial. Sikap negatif seumpamanya memang amat dikesali kerana ia boleh menyebabkan rakyat dan negara ini kembali dijajah, iaitu dijajah dari segi rohani dan minda sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Justeru itu, bersempena dengan hari ulang tahun kemerdekan kita tahun ini, marilah kita menyambut dan merayakannya dengan penuh semangat serta penuh keinsafan bahawa kemerdekaan negara adalah hasil perjuangan dan pengorbanan para pejuang dan pahlawan tanah air yang ingin mendaulatkan agama dan bangsa.
Untuk ini, marilah kita sama-sama mengembeling tenaga dan bertekad untuk memelihara dan mempertahankan keamanan dan keharmonian hidup berbilang kaum yang kita kecapi ini dari pelbagai ancaman yang menggugat aqidah Islam, menggugat perpaduan rakyat, menggugat keselamatan negara, tanpa mengira sama ada dari dalam mahupun dari luar negara. Tanpa kesetiaan rakyat melaksanakan kewajipan ini, dikhuatiri kemerdekaan yang kita kecapi selama ini akan ditarik semula oleh Allah s.w.t.
Kemerdekaan ini mesti dipertahan serta diwarisi dengan jiwa dan minda merdeka. Maknanya, merdeka harus dihayati, dipelajari dan dirayakan secara positif bagi menyedarkan serta menginsafkan kita untuk mensyukuri dan memeliharanya dalam mengharungi cabaran-cabaran pada masa hadapan. Ini perlu kerana kemerdekaan dalam perspektif Islam adalah kemerdekaan insan dan negara seutuhnya berpaksikan Tauhid dan menuju ke arah matlamat keredhaan Allah S.W.T.
Allah S.W.T berupaya mengubah nikmat kepada bala, tetapi Allah dengan hikmah-Nya menuntut agar manusia memanfaatkan fungsi dan tugas sebagai khalifah yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya, agar segala perintah dan ajaran terlaksana dengan usaha manusia menurut batas kemampuan yang dimiliki. Maka dalam rangka mempertahankan kemerdekaan bagi memperjuangkan agama Islam serta membela nasib rakyat, perlu ada kebijaksanaan, kesungguhan dan komitmen yang berkesinambungan justeru setiap perjuangan suci itu tidak akan sunyi daripada cabaran dan dugaan.
Dalam erti kata lain, kita mesti berjihad dengan upaya yang dimiliki, melawan kelemahan dan kemalasan serta berjihad menentang dorongan hawa nafsu yang cenderung ke arah kebatilan. Sesiapa yang berusaha memenuhi tuntutan agama dan membela nasib rakyat dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, pasti akan dibimbing oleh Allah mencapai matlamat itu seperti mana firman-Nya di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (S. Al-Ankabut: 69).
Oleh hal yang demikian, apabila usaha memelihara kesucian agama dan mempertahankan kemerdekaan dapat dipraktikkan bersesuaian dengan kaedah, kondisi dan situasi yang diharuskan oleh Islam dengan penuh kesungguhan dan ketaatan, maka kejayaan dan kemenangan yang diidamkan itu pasti akan muncul. Inilah inti hakikat yang harus dihayati dan difahami oleh setiap umat Islam agar segala peraturan dan perintah Allah diamalkan secara menyeluruh dengan batas kemampuan yang dimiliki.
Maknanya, hanya dengan memanifestasikan ajaran Islam itu secara total di dalam kehidupan yang akan memungkinkan agama Islam dan umatnya kembali gemilang seterusnya meletakkan negara ke mercu kecemerlangan.
Golongan muda-mudi perlu sedar bahawa harga sebuah kemerdekaan itu tidak boleh dibayar oleh wang ringgit. Harga kemerdekaan itu juga tidak boleh dibayar apabila hanya satu pihak sahaja yang mewah tetapi pihak lain hidup melarat. Namun harga kemerdekaan negara boleh dibayar melalui kesedaran menuntut ilmu dan beramal dengannya.
Dengan kata lain, semua pihak terutama sekali keluarga, institusi pendidikan, kerajaan dan lain-lain lagi mestilah menitikberatkan soal bidang pendidikan pada setiap peringkat. Ini kerana melalui pendidikanlah segala ilmu pengetahuan, maklumat dan kemahiran dapat disalurkan yang meliputi pengetahuan agama dan ketatanegaraan. Cumanya sekarang, generasi muda perlu sedar dan diperingatkan bahawa pelajaran adalah melebihi segala-galanya.
Jika generasi hari ini dan yang akan datang ingin terus menikmati serta mewarisi kebebasan mengamalkan ajaran agama, keamanan, kemajuan dan kemakmuran
hidup, maka jalan kea arah itu ialah dengan memelihara dan memperahankan kemerdekaan yang dikecapi. Ini kerana kemerdekaan dari belenggu penjajah dan merdeka dari pengaruh ajaran sesat serta budaya kuning akan membolehkan kita melaksanakan kewajipan terhadap Allah dan kewajipan terhadap sesama manusia dalam keadaan dan suasana yang tenteram dan selesa. Ingatlah firman Allah yang bermaksud:
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (S. Al-A’raaf: 96).
Nama dan sifat Allah pada Nabi
3 years ago
0 Comments:
Post a Comment