PUASA PENJANA AKHLAK TERPUJI
SALAH satu matlamat kefardhuan puasa Ramadhan ialah untuk menjana suatu natijah akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah SWT. Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala dari-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
Ramadhan merupakan bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut. Ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadah akan lebih memudahkan proses taqarrub (mendekatkan diri seseorang kepada Allah) . Dengan itu seseorang mukmin akan lebih mudah untuk membezakan sesuatu yang hak dan batil.
Dari Abu Hurairah R.A. bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.
2. Para malaikat selalu memintakan keampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurga-Nya sambil berkata, 'Hamba-hamba-Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.'
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?' Beliau menjawab, 'Tidak, kerana orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya apabila sudah menyelesaikan pekerjaannya.' (H.R Ahmad)
Setiap orang Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa pada setiap hari di bulan Ramadhan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak.
Puasa adalah suatu ibadat tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa dan nurani dari segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Melalui ibadat puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertaqwa dan sabar.
Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (H.R Bukhari).
Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dapat kita laksanakan dengan baik, perkara utama yang harus didahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini. Antaranya ialah:
a. Menjaga ibadat puasa dari terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.
b. Membanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.
c. Mengurangkan tidur pada siang hari bulan Ramadhan.
d. Beriktikaf dalam masjid terutamanya pada sepuluh malam terakhir Ramadhan
e. Membanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.
f. Jangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.
Melihat kepada betapa besarnya fadhilat yang bakal diperolehi oleh semua umat muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini, Rasulullah SAW telah memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadhan melalui satu khutbah baginda iaitu:
“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah telah jadikan puasa adalah kefardhuan dan bangun pada malamnya adalah satu tambahan.
Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah ia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardhu di bulan yang lain. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”
Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadhan dan fadhilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda dari Allah SWT.
Usah jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadhan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila datangnya malam pertama Ramadhan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru “ Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan dari api neraka.”
Posted by Wan Marzuki (Majalah CAHAYA Ogos 2006)
Nama dan sifat Allah pada Nabi
3 years ago
0 Comments:
Post a Comment