RAMADHAN PENGHULU SEGALA BULAN
Alhamdulillah tahun ini kita diberikan kesempatan untuk berpuasa sekali lagi dalam bulan yang mulia ini. Bulan RamadHan atau disebut bulan puasa memang dinanti-nantikan kedatangannya kerana ia dikatakan 'penghulu segala bulan'. Dalam bulan inilah semua orang Islam diwajibkan berpuasa; suatu amalan yang amat tinggi nilainya di sisi Allah S.W.T.
Kenapa Ramadhan dipanggil 'penghulu segala bulan'? Ini adalah kerana dalam bulan ini Allah menurunkan al-Quran kepada nabi Muhammad S.A.W. Di samping itu dalam bulan RamadHan ada satu malam yang dinamakan 'Lailatul-Qadar'. Malam ini mempunyai kelebihan yang menyamai amalan 1000 bulan (83 tahun) malahan lebih lagi. Ini bermakna hanya beramal satu ibadat diberikan pahala seolah-olah mengerjakan ibadat itu selama 83 tahun.
Nabi Muhammad ada menjelaskan "Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya pengampunan manakala akhir Ramadhan merupakan pelepasan dari seksa neraka." Betapa besar rahmat Allah diberikan kepada umat nabi Muhammad S.A.W. Meskipun berusia pendek namun ganjaran pahala yang diberikan seolah-olah menjadikan usia kita lebih panjang.
Rejab, Sya'ban dan Ramadhan adalah gandingan bulan yang mulia. Rejab dikatakan bulan milik Allah, Sya'ban milik nabi Muhammad dan Ramadhan bulan bagi umat Muhammad. Ini bermakna bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini adalah bulan paling istimewa bagi kita umat nabi Muhammad.
Oleh sebab itu, gembira menyambut ketibaan Ramadhan sahaja (belum berpuasa lagi) Allah mengharamkan kita dari api neraka. Malang bagi sebahagian daripada kita terlalu gembira menyambut kedatangan awal tahun sehingga bersekang mata menunggu beramai-ramai ketibaan 1 Januari - 12.00 tengah malam dengan sukaria tetapi dengan kedatangan Ramadhan tidak pula disambut begitu rupa. Neraca apakah penilaian yang kita gunakan?
Sepanjang Ramadan kita berpuasa, menahan anggota dari melakukan perkara yang membatal atau ‘mencederakan’ puasa. Setiap saat dipermudahkan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Pendek kata kita boleh mendapat pahala sepanjang masa dalam Ramadhan. Ini tidak dapat dilakukan pada bulan-bulan lain dan dalam ibadat-ibadat lain.
Begitu hebatnya tawaran dan anugerah Allah sehinggakan Malaikat Jibril menerangkan kepada Baginda S.A.W. bahawa orang yang tidak memperolehi pengampunan dalam bulan ini adalah orang yang betul-betul celaka dan malang. Mudah-mudahan kita semua tidak termasuk dalam golongan yang tidak mendapat rahmat Allah sepanjang bulan Ramadhan ini.
Jibril mengatakan demikian lantaran amat mudah sekali mendapatkan keampunan Allah dalam bulan ini. Hal ini tidak berlaku dalam bulan-bulan lain. Mereka yang terlalu engkar dan melawan Allah sahaja yang terkecuali dari mendapat keampunan. Pintu kerahmatan ditutup baginya.
Sama-samalah kita memohon keampunan ke hadrat Allah S.W.T. sempena Ramadhan tahun ini semoga kita memperolehi keselamatan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Amin. Kita belum pasti akan bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan. Oleh itu, beribadatlah sebanyak mungkin dengan melakukan segala ketaatan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya di samping mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.
Ya Allah, terimalah amalan kami yang kerdil dan bergelumang dengan dosa ini. Ampunilah kami sebagaimana Engkau mengampunkan umat terdahulu. Sesungguhnya kami sangat bergembira dengan kedatangan Ramadhan ini. Kami sedar sabda rasul-Mu bahawa mereka yang gembira menyambut Ramadhan, Engkau haramkan dari api neraka. Oleh itu kami memohon sepenuh hati semoga kami juga Engkau jauhkan dari azab neraka. Amin.
Monday, September 08, 2008
TAZKIRAH 7
Posted by muslim kelana at 2:57 PM 0 comments
Labels: Tazkirah Pilihan
MUTIARA HIKMAH HARI INI
Janganlah engkau membenci terhadap orang yang membuat dosa; kerana tidak mengetahui, sebelum meninggal dunia dia bertaubat kepada Allah dan diterima taubatnya, maka dia menjadi orang yang tinggi darjatnya.
(Zu Nun Al-Misri)
Posted by muslim kelana at 2:53 PM 0 comments
Labels: Mutiara hikmah hari ini
INDAHNYA RAMADHAN
Bulan Ramadhan merupakan bulan keberkatan, bulan kerahmatan, bulan keampunan serta bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat bagi mencari keredhaan Allah sepanjang Ramadhan ini, marilah kita meneliti beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi )
Sabda Rasulullah SAW lagi yang maksudnya :Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.(- HR Imam Nasai'e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi-)
Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya : Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa, maka ia untuk-Ku dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara .Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa. Demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya, apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan Baihaqi)
Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun (HR Tirmidzi)
Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa'd R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: 'Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: 'Dimanakah orang-orang yang berpuasa?' Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk daripadanya.' (HR Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 'Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: 'Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia(orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.' (H.R Muslim)
Diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda yang maksudnya: 'Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan)70 tahun.' (HR Bukhari)
Dari Ibnu 'Umar RA, katanya Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud: 'Carilah malam qadar itu pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadhan. Jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang masih tinggal.' (HR Muslim)
Dari Abdullah bin Umar RA. bahawa Nabi SAW bersabda: 'Puasa dan Al-Quran memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata, 'Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.' Dan Al-Quran pun berkata, 'Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.' Lalu syafaat keduanya diterima Allah.'( H.R Ahmad)
Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: 'Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kesturi.
2. Para malaikat selalu memintakan keampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurga-Nya sambil berkata, 'Hamba-hamba-Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.'
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?' Beliau menjawab, 'Tidak, karena orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya apabila sudah menyelesaikan pekerjaannya.' (H.R Ahmad)
Dari Jabir RA bahawa Nabi SAW bersabda: 'Puasa itu perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka.' (HR Ahmad)
Rasulullah SAW bersabda: Sahur itu seluruhnya berkat, karena itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, karena Allah dan malaikat-Nya memberi salawat kepada orang-orang yang makan pada waktu sahur. (H.R Ahmad)
Sabda Rasulullah SAW.; 'Tiga doa yang sangat mustajab; doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan doa orang yang musafir.' (H.R Ahmad, Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi)
Nabi SAW bersabda; 'Tidurnya orang yang puasa tetap dalam ibadat dan diamnya dianggap tasbih dan amalnya dilipat gandakan dan doanya mustajab dan dosanya diampunkan.' ( Riwayat Al Baihaqi)
Rasululah SAW bersabda; 'Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. 'Aku ini puasa'. ( Sahih Bukhari)
Semoga paparan ini dapat membuka minda kita bagi merebut peluang keemasan yang ada dalam bulan Ramadhan kali ini. Selamat Menjalani Ibadat Puasa!
Post by Haslinda Lukman (MAJALAH CAHAYA, OGOS 2006)
Posted by muslim kelana at 6:47 AM 0 comments
Labels: Info Ramadhan
Sunday, September 07, 2008
BELAJAR BAHASA ARAB
PELAJARAN 2
اِسْم عَلَمُ
ISIM 'ALAM (Kata Nama Benda)
Dalam kategori Isim, ada yang disebut dengan Isim 'Alam iaitu Isim yang merupakan nama dari seseorang atau sesuatu. Di bawah ini beberapa contoh Isim 'Alam (Kata Nama Benda). Bacalah dengan suara yang nyaring dan jelas satu persatu:
مُحَمَّد - آدَم - إِدْرِيْس - نُوْح - إِبْرَاهِيْم - إِسْمَاعِيْل - إِسْحَاق - يَعْقُوْب - يُوْسُف - مُوْسَى - سُلَيْمَان - يُوْنُس - عِيْسَى - مَرْيَم - خَدِيْجَة - عَائِشَة - فَاطِمَة - عُمَر - عُثْمَان - جِبْرِيْل - مِيْكَال - لُقْمَان - زَيْد - فِرْعَوْن - قَارُوْن - إِبْلِيْس - عِفْرِيْت - مَكَّة - مَدِيْنَة
Cari dan tulis Isim-isim 'Alam yang lain yang anda temui dan ketahui.
Posted by muslim kelana at 10:56 PM 0 comments
Labels: Siri Belajar Bahasa Al-Quran
TAZKIRAH 6
BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH
Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.
Dalam kisah Nabi, ada diceritakan nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub menjawab 'Ya benar, demi keagungan-Mu apalah makna kekayaan tanpa keberkatan-Mu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.
1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal
4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari (cari anak-anak yatim untuk diberikan sedekah) Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya (pemberian tangan kanan tanpa diketahui oleh tangan kiri). Bersedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita kerana sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 92.
9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)
10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jual beli (perniagaan). Menurut Nabi SAW: 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardhu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini seluruh umat Islam berdosa.
11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.
Dalam satu hadis Nabi menerangkan setiap awal pagi semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'
Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: Takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabda Baginda lagi: Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.
Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.
Posted by muslim kelana at 10:35 PM 0 comments
Labels: Tazkirah Pilihan
Soal Jawab Puasa 7
Soalan:
Apakah niat untuk bersahur dan berbuka dalam bahasa Rumi dan apakah maknanya?
Jawapan:
Bersahur dan berbuka puasa tidak memerlukan niat. Yang diperlukan niat adalah ibadat puasa itu sendiri.Oleh kerana bersahur dan berbuka puasa adalah aktiviti makan dan minum, maka doa makan dan minum juga boleh dibaca sebelum sahur dan waktu berbuka. Pada waktu berbuka boleh ditambah dengan doa yang bermaksud, “Ya Allah, kerana-Mu aku berpuasa, dengan-Mu aku beriman dan dengan rezeki-Mu aku berbuka.”
Posted by muslim kelana at 10:27 PM 0 comments
Labels: Soal Jawab Puasa
MUTIARA HIKMAH HARI INI
Sekiranya cintamu itu benar, tentulah kamu mentaati-Nya, kamu mematuhi segala perintah-Nya, kerana seseorang itu mentaati orang yang dicintai.
(Penyair Arab)
Posted by muslim kelana at 6:15 PM 0 comments
Labels: Mutiara hikmah hari ini

